Search
Close this search box.
Syarikat penerbangan tambang rendah MYAirline Sdn Bhd optimis ia akan memulakan perkhidmatan di laluan antarabangsa pada Jun tahun ini.Foto MyAirlines.

Parlimen: Kerajaan bincang harga tiket berpatutan untuk pelajar Sabah dan Sarawak

ByAhmad Burhanuddin

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Kementerian Pengangkutan akan terus mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan berhubung tawaran pakej penerbangan harga berpatutan kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Anthony Loke berkata, ketika ini, Malaysia Airlines menawarkan program MH Explorer yang mana pelajar berdaftar, layak menikmati diskaun sehingga 30 peratus bagi tiket penerbangan.

Selain itu katanya, manfaat lain menerusi program itu ialah elaun bagasi seberat 10 kilogram (kg) dan tawaran khas untuk ahli keluarga serta rakan – rakan pelajar.

“Itu yang sedang dilaksanakan menerusi MH Explorer. Bagi inisiatif oleh syarikat – syarikat penerbangan yang lain, kita (kerajaan) cuba bincang kerana banyak syarikat penerbangan lain telah beroperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Vivian Wong Shir Yee (Pakatan Harapan – Sandakan) yang ingin tahu sama ada kementerian akan memperkenalkan pakej penerbangan harga yang berpatutan kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak.

Bagi menawarkan tiket penerbangan yang lebih murah, Anthony memaklumkan yang beliau akan bertemu dengan MYAirline Sdn. Bhd. dalam waktu terdekat.

“Saya juga akan bangkitkan supaya (syarikat penerbangan) melihat kepada laluan penerbangan yang belum ditawarkan seperti dari Pulau Pinang ke Sabah dan Sarawak.

“Mungkin (penerbangan) ke Kota Kinabalu ada namun (laluan) Sandakan kurang, kita (kerajaan) cuba tambah kapasiti bagi syarikat – syarikat penerbangan yang lain,” katanya.

Sementara itu ketika menjawab soalan tambahan Dato Sri Doris Sophia Brodie (Gabungan Parti Sarawak – Sri Aman) mengenai tindakan terhadap syarikat penerbangan yang terlibat dengan masalah penerbangan lewat, Anthony berkata, pada Januari lepas Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah mengingatkan semua syarikat penerbangan supaya memperkukuhkan urusan penundaan dan pembatalan penerbangan.

Kata beliau, ini bertujuan untuk menambah baik komunikasi dengan penumpang dan syarikat penerbangan perlu menyediakan keperluan yang digariskan dalam Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC).

“Sekiranya gagal, MAVCOM akan kenakan penalti tidak melebihi RM200 000 bagi kesalahan pertama dan 10 kali lebih tinggi bagi kesalahan berikutnya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sejak 2018 hingga Januari lalu, penalti sebanyak RM4.72 juta dikenakan oleh MAVCOM kepada syarikat penerbangan yang gagal patuhi MACPC. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan