Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Residen Bahagian Sarikei, Michael Ronnie Langgong berucap pada Siri Taklimat dan Perjumpaan KMKK, JKKK dan KRT anjuran PBB N.41 Kuala Rajang di Dewan Suarah Sarikei, semalam. Foto: TVS

Kajian semula struktur organisasi, mantap peranan Ketua Masyarakat

SARIKEI, 27 Feb: Struktur organisasi membabitkan pemimpin masyarakat bakal dikaji semula bagi memastikan mereka dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan.

Residen Bahagian Sarikei, Michael Ronnie Langgong berkata, tumpuan khusus diberikan kepada Ketua Kaum yang terletak di bawah tanggungjawab seorang Penghulu.

Residen Bahagian Sarikei, Michael Ronnie Langgong bersama Datuk Len Talif Salleh menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima pada Siri Taklimat dan Perjumpaan KMKK, JKKK dan KRT anjuran PBB N.41 Kuala Rajang di Dewan Suarah Sarikei, semalam. Foto: TVS

Perkara penting itu katanya, dibincangkan dalam mesyuarat bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Buckland Bangik, di Betong baru-baru ini.

“Kalau dilihat di Sarikei ini berdasarkan struktur organisasi yang berbentuk piramid, kita mempunyai tiga orang Temenggung di peringkat atas, di bawahnya adalah lapan orang Pemanca, di bawah Pemanca merupakan 31 orang Penghulu dan di bawah sekali merangkumi Ketua Kaum, Kapitan, Ketua Kampung iaitu seramai 732 orang.

“Maknanya apa yang di bawah ini terlalu besar dan secara nisbahnya antara Penghulu dan Ketua Kaum, maknanya seorang Penghulu sekarang bertanggungjawab terhadap lebih kurang 23 atau 24 orang Ketua Kaum. Itu struktur yang kita ada sekarang,” katanya pada Siri Taklimat dan Perjumpaan Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.41 Kuala Rajang di Dewan Suarah Sarikei, semalam.

Beliau berkata, kajian itu dilakukan supaya kedudukan struktur organisasi Ketua Kaum lebih kemas dan tidak membebankan.

“Kita dikehendaki mengkaji semula supaya struktur organisasi ini lebih kemas. Maknanya mungkin sekurang-kurangnya seorang Penghulu sekarang boleh melihat kepada jumlah yang lebih sedikit iaitu kurang daripada 20 orang. Bayangkan kalau 23 orang Ketua-ketua kaum di bawah jagaannya, dalam sebulan mungkin tidak sempat seorang Penghulu untuk melihat semua kampung-kampung di bawah seliaan beliau. Temenggung dan Pemanca tidak begitu kritikal, yang kritikal ialah Ketua-ketua Kaum di bawah seorang Penghulu itu,” katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, beberapa lagi aspek sampingan juga perlu dinilai termasuk kepadatan penduduk, bilangan isi rumah, sempadan pentadbiran dan lain-lain lagi.

“Kita melihat satu struktur organisai yang lebih ideal ini nanti, bermakna nisbahnya adalah seimbang daripada peringkat atas sampai yang bawahan. Satu perkara yang tengah dalam kajian kita sekarang di Pejabat Residen, kita akan melibatkan juga pihak Yang Berhormat (YB) iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di beberapa kawasan masing-masing untuk melihat keperluan Penghulu dan jawatan lain yang perlu kita tambah baik,” ujarnya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan