Search
Close this search box.
Bagi meluaskan jaringan jalur lebar yang berkualiti di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah, kerajaan telah mempercepatkan penyediaan perkhidmatan jalur lebar melalui teknologi satelit, yang pada asalnya dirancang untuk dilaksanakan pada 2023. Gambar hiasan. Foto: Envato

Liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sabah capai 88 peratus – Fahmi 

ByBernama

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Peratusan liputan rangkaian 4G di kawasan berpenduduk di Sabah meningkat di tahap 88.06 peratus, setakat suku ketiga tahun 2022.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata ini merupakan satu peningkatan berbanding 73.41 peratus sebelum Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pada suku kedua 2020.

Beliau berkata bagi meluaskan jaringan jalur lebar yang berkualiti di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah, kerajaan telah mempercepatkan penyediaan perkhidmatan jalur lebar melalui teknologi satelit, yang pada asalnya dirancang untuk dilaksanakan pada 2023.

“Perancangan di bawah JENDELA Fasa 2 (2023-2025) berjaya disiapkan di bawah JENDELA Fasa 1 (2020-2022) pada tahun lalu. Keseluruhan 138 lokasi di Sabah telah siap dilaksanakan,” katanya menerusi jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Isnin.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menjawab soalan Datuk Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu), mengenai perancangan Kementerian Komunikasi dan Digital dalam memperbaiki jaringan jalur lebar di kawasan luar bandar Wilayah Sabah.

Fahmi berkata sebanyak 171,554 premis di Sabah, telah disediakan dengan sambungan gentian optik bagi jalur lebar talian tetap, manakala baki sebanyak 79,611 lagi dalam peringkat pelaksanaan daripada sejumlah 251,165 yang dirancang.

Tambahnya daripada 4,123 yang dirancangkan, sebanyak 4,096 alat pemancar komunikasi telah siap dinaik taraf kepada teknologi 4G, manakala baki sebanyak 27 lagi dalam peringkat pelaksanaan.

“Kementerian juga telah menyiapkan 159 menara baharu dan dalam proses menyiapkan baki 455 menara daripada 614 menara yang dirancang. Semua inisiatif yang sedang dalam peringkat pelaksanaan dijangka siap sepenuhnya suku keempat 2023.

“Kerajaan turut melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP) yang mana sehingga 10 Feb, pelaksanaan PoP Fasa 1 di Sabah telah berjaya disempurnakan dengan penyediaan premis sebanyak 6,914, dengan dari jumlah tersebut 2,411 telah dilanggan oleh penduduk sekitarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata untuk memperbaiki jaringan jalur lebar melalui penyediaan infrastruktur komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menjalankan pengukuran kualiti di lapangan berdasarkan aduan dan perancangan audit berkala, untuk seluruh negara.

Beliau berkata audit kualiti perkhidmatan berkenaan akan diteruskan pada 2023, dangan sasaran sebanyak 4,000 lokasi di seluruh negara termasuklah 225 lokasi untuk Sabah, bagi memastikan Standard Mandatori terus dipatuhi.

“Melalui Arahan Suruhanjaya ini, pemberi perkhidmatan wajib menambah baik kualiti perkhidmatan dengan mengoptimumkan atau menaik taraf menara sedia ada, agar kualiti pengalaman pengguna berada pada tahap yang baik. Ketidakpatuhan kepada Arahan Suruhanjaya boleh dikenakan penalti sivil sehingga RM200,000,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan