Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus berucap pada Majlis Perasmian SeDidik Teacher’s Team Building 2023 di Kampung Budaya Sarawak (KBS) hari ini. Foto: Muqri Aziz (TVS)

KPWK sasar 100 peratus kanak-kanak mendapat akses pendidikan awal pada 2025

ByMuqri Aziz

KUCHING, 20 Feb: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) melalui SeDidik Sarawak menyasarkan 100 peratus kanak-kanak berumur enam tahun mendapat akses pendidikan awal sebelum melangkah ke tahun satu sekolah rendah pada 2025.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bagi mencapai sasaran terbabit, SeDidik akan dibuka di tempat-tempat yang tiada akses kepada pendidikan awal.

“Kita akan membuka SeDidik di tempat-tempat yang tiada akses kepada pendidikan awal atau tempat-tempat yang permintaannya terlalu tinggi sehingga penyedia perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak yang sedia ada tidak dapat menampung permintaan tersebut.

“Selain itu, dengan dasar inklusiviti, kanak-kanak yang berkeperluan khas juga berpeluang untuk sama-sama menikmati pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti seperti kanak-kanak lain,” katanya pada Majlis Perasmian SeDidik Teacher’s Team Building 2023 di Kampung Budaya Sarawak (KBS) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus yang mewakilinya di majlis itu.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah SeDidik menambah bahawa sehingga 2023, hanya 98.92 peratus kanak-kanak di Sarawak telah menerima pendidikan awal sebelum melangkah ke alam persekolahan sebenar.

“Pada masa sama, kementerian juga menyasarkan 100 peratus para pendidik SeDidik mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya Diploma. Untuk penyampaian program SeDidik secara efektif, para pendidik telah dihantar untuk mendapatkan Diploma dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan sasaran 100 peratus pada tahun 2025.

“Besar harapan saya untuk melihat semua warga pendidik yang ada di sini sentiasa dalam usaha menjadi sebahagian daripada penyumbang ke arah kelestarian pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak di Sarawak,” katanya.

Beliau juga berharap dengan penganjuran program SeDidik Teacher’s Team Building 2023 dapat meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan keyakinan warga pendidik, seterusnya berkeupayaan memberi perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada pelanggan, pemegang taruh dan rakyat Sarawak.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengurus Besar SeDidik Sarawak, Ayub Dahari dan Ketua Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Lembaga Pengarah SeDidik Salina Bujang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan