Search
Close this search box.
Seorang lelaki diberkas polis selepas melanggar motosikal anggotanya yang melakukan tugasan rondaan pencegahan jenayah di Jalan Baru di sini semalam. Foto tangkap layar TikTok pugucutyz.

Langgar motosikal polis kerana bawa senjata, dadah

PERAI, 14 Feb: Seorang lelaki diberkas polis selepas melanggar motosikal anggotanya yang melakukan tugasan rondaan pencegahan jenayah di Jalan Baru di sini semalam.

Suspek ditahan ketika melarikan diri sejurus membuat pusingan U dan memandu kereta jenis Proton Saga secara melawan arus bagi mengelakkan daripada ditahan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner (ACP) Tan Cheng San berkata, kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu berlaku selepas anggota polis cuba menahan kereta suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Bagaimanapun, suspek berusia awal 40-an itu telah bertindak melanggar motosikal anggota tersebut hingga jatuh.

“Suspek warga tempatan berkenaan membuat pusingan U dan melarikan diri ke arah Seberang Jaya sebelum dia berjaya ditahan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Kata Cheng San, hasil siasatan polis menemukan beberapa senjata berbahaya di dalam kereta suspek selain sejumlah dadah.

Suspek ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 186, Seksyen 353 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, kejadian tersebut tular selepas pengguna jalan raya membuat rakaman video insiden tersebut dan telah dimuat naik ke laman sosial.

Video berkenaan memaparkan sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna kelabu melanggar sebuah motosikal sebelum suspek mengundur kereta dan memandu secara melawan arus untuk meloloskan diri. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan