Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Akma Salleh mengambil gambar bersama beberapa orang kanak-kanak tempatan yang kerap berkunjung ke Taman Rekreasi Lumpur Bebuak. Foto: Fiqri Razak (TVS)

Lumpur Bebuak Limbang serupa ‘laut mati’ di Jordan

ByAkma Salleh

https://youtu.be/tTvLHJ9tjtM

LIMBANG, 4 Feb: Jika di Jordan ada tarikan lembah terendah laut mati atau ‘dead sea’ dengan kedalaman 330 meter, di daerah Limbang terdapat satu tarikan pelancongan yang seakan-akan laut mati ini iaitu Taman Rekreasi Lumpur Bebuak.

Kajian mengatakan, manusia boleh terapung di laut mati disebabkan kedudukannya yang rendah serta air laut itu tidak dapat mengalir ke mana-mana.

Antara kanak-kanak yang kerap menjadi pengunjung Taman Rekreasi Lumpur Bebuak di Kampung Meritam, Limbang. Foto: Fiqri Razak (TVS)

Tambahan pula, setiap hari sekitar tujuh juta tan air laut mati menguap ke udara, menjadikan air laut ini bertambah masin.

Namun berbeza dengan keadaan di Lumpur Bebuak Limbang, sehingga kini belum ada lagi kajian yang boleh membuktikan mengapa manusia dapat terapung di dalam lumpur itu, yang mana kedalamannya juga sehingga kini tidak dapat dipastikan.

Menurut Pengurus Taman Rekreasi Lumpur Bebuak, Embran Ahmad, lumpur bebuak yang ada di Kampung Meritam Limbang telah wujud ratusan tahun dan menjadi salah satu tarikan pelancongan di utara Sarawak kerana dikatakan mempunyai khasiat tersendiri.

“Ini adalah asli memang dari perut bumi, tetapi sumber dari mana datangnya lumpur ini kita masih tidak tahu. Apa yang pasti lumpur ini bukan seperti gunung berapi kerana lumpur ini sejuk dan tidak panas

“Kalau kita mandi di dalam lumpur ini, kita juga tidak akan tenggelam, walaupun secara amnya kedalaman lumpur ini tidak dapat diukur dan dipastikan,” katanya kepada TVS baru-baru ini.

Menurutnya lagi, terdapat pelbagai saiz kawah lumpur yang ada di taman rekreasi itu dan boleh menempatkan sekitar 10 hingga 20 orang dalam satu-satu masa.

Sekiranya bernasib baik, pengunjung boleh melihat sendiri letusan lumpur dari perut bumi yang berbunyi seperti bunyi mercun dengan ketinggian mencecah hampir dua meter. Foto: Akma Salleh (TVS)

“Jika pengunjung bernasib baik, mereka mungkin berpeluang melihat sendiri keunikan lumpur yang membuak dan mengeluarkan letupan seakan-akan bunyi mercun ini pada ketinggian hampir dua meter,” jelasnya sambil menceritakan nama ‘bebuak’ itu sendiri diambil sempena bunyi dan keadaan lumpur yang membuak di permukaan kawah.

Mengulas lanjut kata Embran, lumpur ini juga boleh merawat penyakit kulit.

“Pengunjung yang datang ke sini bukan sahaja ingin mencuba atau merasai sendiri pengalaman mandi lumpur, tetapi ada yang datang kepada saya dan memaklumkan, sejak mandi di lumpur ini, penyakit kulit yang dialami itu semakin sembuh. Jadi mereka mendakwa lumpur ini mampu untuk merawat penyakit kulit

“Selain itu juga, kita di sini tidak terhad untuk mandi lumpur sahaja, ada juga aktiviti lain khasnya untuk golongan muda dan belia seperti ‘flying fox’ dan ‘wall climbing’,” katanya.

Embran yang juga Pengerusi Rukun Tetangga Kampung Meritam turut memberitahu, sebelum pandemik melanda, kawasan seluas lebih empat ekar tersebut tidak pernah lekang dikunjungi orang ramai terutama pada musim cuti persekolahan.

Katanya, sekitar 500 hingga 700 pelawat berkunjung ke Taman Rekreasi Lumpur Berbuak untuk merasai pengalaman sendiri berendam dalam lumpur.

Pengurus Taman Rekreasi Lumpur Bebuak, Embran Ahmad berkata, lumpur bebuak yang ada di Kampung Meritam Limbang telah wujud ratusan tahun dan menjadi salah satu tarikan pelancongan di utara Sarawak kerana dikatakan mempunyai khasiat tersendiri. Foto: Akma Salleh (TVS)

Bagaimanapun buat masa ini, Taman Rekreasi Lumpur Bebuak sedang dinaik taraf dan akan dibuka semula pada Jun 2023.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Lumpur Berbuak Meritam Limbang adalah antara salah satu kawasan taman rekreasi yang bukan sahaja mampu menarik pengunjung tempatan mahupun luar negara, malah mampu memajukan lagi sosioekonomi penduduk Meritam.

Menurutnya, Majlis Daerah Limbang juga sedang berusaha untuk memajukan kawasan tersebut demi manfaat Penduduk Limbang.

“Kita memang serius dalam membangunkan kawasan pelancongan di Limbang ini selain daripada pertanian.

“Kita berharap penduduk setempat akan mengambil peluang menikmati keadaan semula jadi ini.

“Ini kerana, pelancong juga memerlukan tempat tinggal, tempat makan, dan mungkin juga untuk membeli barangan kraf tangan. Jadi saya harap penduduk setempat mengambil peluang ini. Mungkin boleh wujudkan homestay di sana,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung sebarang penyelidikan yang akan dilaksanakan di kawasan berkenaan daripada pihak berkaitan, Dr Abdul Rahman yang juga merupakan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) berharap agar jabatan berkaitan datang untuk mengkaji keadaan yang istimewa itu.

“Mungkin Jabatan Muzium boleh datang, kesihatan, mineral untuk mengkaji keunikan ini, tapi secara umumnya memang ada testimoni yang mengatakan mereka yang ada sakit kulit, selepas berendam di kolam lumpur, penyakit mereka sembuh. Malah saya sendiri pun pernah berendam di sana dan merasai sendiri pengalaman mandi lumpur itu,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan