Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof (tengah) menunjukkan sebahagian naskah al-Quran yang dirampas pihaknya pada sidang media di Butterworth hari ini. Foto: TVS

KDN rampas 1,907 naskah al-Quran tiada kelulusan

BUTTERWORTH, 1 Feb: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 1,907 naskah al-Quran cetakan luar negara yang tidak mempunyai kelulusan menerusi serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Alma Jaya, Bukit Mertajam dekat sini, baru-baru ini.

Turut disita pada Ops Mulia kira-kira jam 3 petang itu ialah 2,060 bahan al-Quran seperti muqaddam, terjemahan dan surah Yasin yang juga didapati tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ).

Menurut Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof, bahan-bahan dan naskah al-Quran bernilai RM103,000 terbabit didapati dicetak di negara jiran sebelum dihantar ke negara ini.

“Seorang lelaki berusia 40-an dipercayai penjaga premis yang dijadikan stor menyimpan bahan tersebut ditahan bagi siasatan lanjut.

“Manakala naskah terbabit dipercayai bagi dijual secara atas talian menerusi pelbagai platform ke seluruh negara dan di kedai-kedai berdekatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8(1) dan Seksyen 14(1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.

Tambah beliau, al-Quran yang dirampas itu dibimbangi mempunyai kandungan salah sama ada dari segi ayat dan baris yang boleh menyebabkan pengguna membaca dengan maksud yang tidak tepat.

“Sebahagian naskah al-Quran yang dirampas itu didapati ada kandungannya yang turut dieja dalam tulisan rumi sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini mengharamkan sebarang ejaan ayat suci al-Quran dalam tulisan rumi.

“Kita dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mendapati al-Quran yang dirampas itu tidak mengikut resam Uthmani yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia,” katanya lagi.

Jelas Nik Yusaimi, pihaknya menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan hanya menjual, membeli, memiliki dan membaca al-Quran diperakui LPPPQ yang mempunyai hologram KDN.

“Untuk makluman, sehingga kini terdapat 912 pruf akhir teks al-Quran di Malaysia yang bermaksud terdapat 912 jenis terbitan al-Quran yang diluluskan KDN.

“Masyarakat umum diseru tidak memilih al-Quran yang tiada kelulusan KDN,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan