Search
Close this search box.
Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Pix: Faitullah Morni (TVS)

Penstrukturan semula JKR kurangkan isu projek tertangguh

ByHafeezzur Muzamir

BINTULU, 31 Jan: Penstrukturan semula pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negeri berkuat kuasa 1 Januari lepas akan membawa hasil positif dalam pelaksanaan projek di setiap bahagian, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Katanya, dengan penstrukturan itu setiap pejabat bahagian akan mempunyai lebih ramai jurutera dan kakitangan teknikal lain bagi mengurangkan isu projek tertangguh.

“Langkah tersebut bermakna kapasiti setiap pejabat bahagian untuk menguruskan projek dipertingkatkan dan setiap pejabat akan dapat memberi tumpuan kepada projek masing-masing.

“Pada masa sama ia memudahkan orang ramai dan wakil rakyat untuk mengetahui status pelaksanaan sesuatu projek dengan hanya perlu menghubungi pejabat bahagian masing-masing,” katanya ketika menghadiri taklimat status pelaksanaan projek pembangunan di JKR Bahagian Bintulu, semalam.

Beliau juga optimis tindakan segera dapat diambil JKR sekiranya berlaku kerosakan melibatkan jalan raya yang disebabkan banjir, hakisan dan sebagainya kerana prosesnya lebih mudah berbanding sebelum ini kerana kini ia dikendalikan pejabat bahagian.

Sementara itu, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, JKR Sarawak kini menggunapakai slogan baharu iaitu ‘melaksanakan seperti yang dijadualkan dan tanpa kompromi terhadap kualiti’.

“Maksudnya di sini ialah saya mahu anda semua menjadi lebih cekap kerana JKR kini dibenarkan melaksanakan projek persekutuan yang menelan belanja RM50 juta dan ke bawah tanpa prosedur yang merumitkan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah berjanji beliau akan meningkatkan had siling melebihi RM50 juta di masa depan, jika kita boleh melaksanakannya dengan baik “ jelasnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan