Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap di Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Pelabuhan Samalaju di Bintulu, malam tadi. Foto: Fiqri Razak (TVS).

Kerajaan Sarawak teruskan kerjasama bersama Petronas kendalikan Pelabuhan Bintulu

ByHafeezzur Muzamir

BINTULU, 31 Jan: Kerajaan Sarawak akan meneruskan kerjasama dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sebagai pemegang kepentingan utama pelabuhan dalam mengurus dan mengendalikan Pelabuhan Bintulu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama itu bertujuan mencapai beberapa perkara iaitu memajukan kepentingan perniagaan strategik kedua-dua pihak, mencapai matlamat pembangunan mampan, bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada kawasan pedalaman dan pihak berkepentingan lain serta memastikan pertumbuhan dan kejayaan yang berterusan.

Menurutnya, keyakinan untuk terus menjalinkan kerjasama bersama Petronas itu bersandarkan kepada rekod prestasi syarikat itu yang terbukti cemerlang dalam mengurus dan mengendalikan Pelabuhan Bintulu selama ini.

“Dengan komitmen yang sama dan kerjasama yang baik antara Sarawak dan Petronas, Pelabuhan Bintulu akan berpeluang melakukan transformasi ke arah menjadi pelabuhan atau hab pengangkutan utama di rantau Asia Pasifik.

“Saya menyeru supaya para pemegang saham, khususnya Petronas, dan Lembaga Pengarah serta Pengurusan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) untuk menyokong inisiatif pembangunan utama ini demi manfaat bersama semua pihak yang terlibat, “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun ke-10 Pelabuhan Perindustrian Samalaju (SIPSB) yang diadakan di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Untuk rekod, Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) yang diberikan konsesi pada 1 Januari 1993 untuk operasi pelabuhan menyaksikan Kerajaan Sarawak mempunyai 39.7 peratus saham, manakala Petronas dan Syarikat Perkapalan Antarabangsa Malaysia Berhad bersama-sama memegang 30.8 peratus saham, berjumlah 70.5 peratus daripada saham terbitan BPHB yang disenaraikan di Bursa Malaysia. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan