Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan para pemimpin Sarawak yang lain pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 Pelabuhan Samalaju di Bintulu pada malam Isnin. Foto: Fiqri Razak (TVS).

Kerajaan Sarawak bincang dengan Persekutuan ambil alih Pelabuhan Bintulu – Abang Johari

ByHafeezzur Muzamir

BINTULU, 31 Jan: Kerajaan Sarawak akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih Pelabuhan Bintulu, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, pengambil alihan daripada Kerajaan Persekutuan adalah untuk membolehkan ia ditadbir dan dimajukan lagi sebagai pelabuhan negeri sejajar dengan strategi yang dirangka.

“Kita berpandangan bahawa pelaksanaan strategi pembangunan untuk semua pelabuhan di Sarawak mesti merangkumi Pelabuhan Bintulu yang sepatutnya berada di bawah bidang kuasa Sarawak,“ katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun ke-10 Pelabuhan Perindustrian Samalaju (SIPSB) di sini pada malam Isnin.

Pemandangan udara Pelabuhan Bintulu. Foto: Pejabat Premier Sarawak

Hadir sama, isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’Ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Pengurus Bintulu Port Holdings, Datuk Abdul Mutalib Alias.

Baca artikel berkaitan > > > Sarawak mahu Pelabuhan Bintulu sebahagian daripada kluster pelabuhan negeri – Uggah

Jelas Abang Johari, jika hasrat itu dapat dicapai, ia akan membolehkan Kerajaan Sarawak mempunyai pelan induk untuk pembangunan semua pelabuhan di Sarawak.

Pada masa sama ujarnya, ia dapat memastikan setiap pelabuhan memainkan peranan dalam mempromosikan perdagangan dan perniagaan serta meningkatkan hubungan perkapalan dengan hab pengangkutan dan logistik global.

“Kerajaan Sarawak mahu Pelabuhan Bintulu menjadi sebahagian daripada kluster pelabuhan negeri di bawah Lembaga Pelabuhan Pusat yang akan diperbadankan mengikut undang-undang negeri.

“Lembaga Pelabuhan Pusat baharu itu nanti akan memperkemas dan menyelaras pengurusan, operasi, perancangan dan pembangunan semua pelabuhan di Sarawak,“ jelasnya.

Selain itu, Abang Johari berkata, Lembaga Pelabuhan Pusat itu juga akan dapat memastikan penyelarasan tarif pelabuhan dan yuran untuk semua pelabuhan di Sarawak. 

“Tarif Pelabuhan Bintulu tidak disemak atau dinaikkan sejak 1993 dan lebih rendah daripada tarif pelabuhan negeri, sekali gus mengalihkan trafik dari pelabuhan lain di negeri kita.

“Ini bercanggah dengan saranan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) supaya tidak ada yuran dan yuran pelabuhan yang bersifat diskriminasi antara pelabuhan-pelabuhan di Sarawak yang akan mempunyai kesan mengalihkan trafik perdagangan dan maritim dari mana-mana pelabuhan lain,“ ujarnya – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan