Search
Close this search box.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bergambar dengan sebahagian pelajar yang hadir sempena Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS & Pelancaran Sayap Pelajar GRS, di Raia Hotel, Kota Kinabalu, di sini hari ini. Foto: GRS

Hajiji Ketuai Parti Gagasan Rakyat Sabah

KOTA KINABALU, 29 Jan: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan akan mengetuai parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, parti berkenaan merupakan parti sedia ada yang diambil alih dan akan meneraju perjuangan sebagai parti tempatan di negeri itu.

“Parti ini telah diterima di dalam GRS sebagai parti gabungan pada 9 Disember lalu dan kita akan menggerakkan serta meneruskan perjuangan kita melalui Gagasan Sabah demi pembangunan rakyat serta negeri in”i.

“Justeru, selepas ini tidak timbul lagi pelbagai isu untuk mempertikaikan kedudukan saya sebagai Ketua Menteri, saya telah mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Ketua Menteri Sabah dan sekarang saya telah mengetuai parti Gagasan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS di Hotel Raia, di sini pada Ahad.

GRS kini mempunyai lima parti gabungan iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat); Parti Bersatu Sabah (PBS); Parti Solidariti Tanah Airku (STAR); Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji mengakui berasa hairan dengan sikap segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati dengan pentadbirannya.

“Saya hairan kenapa sedangkan kita mengurus negeri dengan baik, namun saya tahu, semua ini bukan kerana kita gagal urus negeri, sebaliknya ada perasaan rakus dan tamak dengan kedudukan”.

“Bagaimanapun, saya yakin dengan sokongan rakyat kerana kita telah berjaya melakukan yang terbaik untuk masa depan Sabah, saya yakin kita boleh mengatasi semua cabaran dalam pemerintahan ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hajiji menyeru golongan mahasiswa dan belia yang berusia 18 tahun ke atas untuk mempunyai pengetahuan mengenai keadaan dan perjuangan politik di negara ini termasuk di Sabah.

“Saya mahu lebih ramai mahasiswa Sabah di institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta seluruh negara dilibatkan dalam program yang dilaksanakan oleh Sayap Pelajar GRS,” ujarnya.

Jelasnya, penglibatan golongan itu akan membolehkan kerajaan memahami kemahuan atau permintaan yang disuarakan oleh mereka.

Beliau berkata, kerajaan Sabah telah memperuntukkan sejumlah RM16.42 juta dalam Belanjawan 2023 untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia yang merangkumi aktiviti kesukarelawanan dan perpaduan sosial. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan