Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Adriana Karim sukar mempercayai bahawa dirinya diterima untuk meneruskan pengajian dalam jurusan Sains Bumi di University of Oxford dan Cornell University. Foto: Adriana Karim

Anak Sarawak terima dua tawaran universiti terkemuka dunia, Oxford dan Cornell University

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 29 Jan: Seorang pelajar cemerlang kelahiran Kuching, Sarawak ini bukan sahaja diterima masuk ke University of Oxford, United Kingdom yang juga merupakan universiti terbaik di Eropah dan kedua terbaik di dunia, malah, Adriana Karim turut ditawarkan tempat di Cornell University di New York, Amerika Syarikat. 

Adriana, 20, sukar mempercayai bahawa dirinya diterima untuk meneruskan pengajian dalam jurusan Sains Bumi di kedua-dua universiti berprestij itu.

Setakat ini beliau belum memutuskan untuk melanjutkan pengajian sama ada di Oxford atau Cornell.

“Sememangnya kedua-dua universiti ini adalah institusi yang sangat hebat dalam menawarkan pendidikan terkemuka. Oleh itu, saya sangat berterima kasih atas semua tawaran yang diberikan. 

“Sekarang apa yang perlu dilakukan ialah belajar bersungguh-sungguh untuk A-Level dan mengharapkan yang terbaik,” katanya kepada TVS di sini, baru-baru ini. 

Katanya, jika beliau memilih untuk menyambung pengajian di Amerika Syarikat, beliau akan mengambil jurusan Sains Bumi dan Atmosfera, Program Ijazah Sarjana Muda Sastera atau Sarjana Muda Sains dengan Kepekatan Geologi selama empat tahun.

“Sekiranya saya memilih untuk pergi ke UK, jurusan ditawarkan adalah Sains Bumi, Sarjana Bersepadu Ijazah, selama empat tahun juga,” tambahnnya lagi. 

Pada mulanya, Adriana yang merupakan pelajar biasiswa Shell Malaysia itu mendedahkan bahawa beliau berminat untuk menyambung pengajian dalam jurusan kejuruteraan kimia kerana mata pelajaran yang diambilnya sewaktu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah Matematik, Matematik Lanjutan, Kimia dan Fizik. 

“Bagaimanapun, selepas setahun mempelajari subjek Matematik Lanjutan A-Level, saya telah memutuskan bahawa saya berminat lagi dengan mata pelajaran lain. Kini, saya telah mengambil mata pelajaran yang saya lebih minat iaitu Marin Sains.

“Itulah saatnya saya mempelajari sebahagian kecil Sains Bumi yang memfokuskan pada Oseanografi. 

“Setelah memperoleh ilmu mengenai plat tektonik dan ekosistem lautan, saya tahu bahawa Geosains atau Sains Bumi adalah perkara yang saya minati. 

“Saya juga amat bertuah kerana menyedari perkara ini sebelum musim permohonan saya iaitu pada Semester 3 kami,” tambahnya lagi.

Adriana telah membuat kedua-dua ibu bapanya bangga dengan memperoleh keputusan cemerlang iaitu 9A+. 

Bercerita mengenai minatnya terhadap sains bumi dan alam sekitar, Adrianna memberitahu bahawa beliau telah menyertai acara Sains Bumi secara maya dianjurkan oleh Imperial College London. Beliau memeriksa imej sebenar Marikh bersama rakan sepasukannya melalui Mars Rover Op.

“Saya juga membaca buku yang berkisarkan mengenai Sains Bumi seperti A Brief History of Earth by Andrew Knoll. Buku berkenaan merupakan pencetus minat bagi saya untuk mendalami serta menyelami topik tersebut.

“Saya juga menyukai hakikat bahawa kursus ini tidak begitu popular sehingga membuatkan orang lain tertanya-tanya apa sebenarnya yang saya lakukan serta manfaatnya dalam meningkatkan kesedaran kepada orang ramai tentang pemuliharaan alam sekitar.

“Yang pasti, saya bakal belajar sesuatu yang menarik dan menyeronokkan,” katanya. 

Beliau juga menceritakan bagaimana beliau dapat menerima tawaran daripada dua menara gading itu. 

“Proses permohonan untuk universiti di Amerika Syarikat dan universiti di UK adalah sangat berlainan. Universiti di UK, ia hampir sama dengan sistem UPU di Malaysia iaitu kami mempunyai sistem berpusat yang dipanggil UCAS. 

“Untuk UCAS, saya menghantar satu permohonan kepada maksimum 5 sekolah pada Oktober lepas.

“Pilihan saya pada masa itu ialah Universiti Oxford, Kolej Imperial London dan Kolej Universiti London (UCL),” ujarnya. 

Katanya, permohonan tersebut memerlukan keputusan akademik seperti IELTS dan ujian kemasukan. 

“Ujian kemasukan biasanya untuk pemohon Oxbridge tetapi itu tidak selalu berlaku. Untuk kursus saya, tiada ujian kemasukan diperlukan. Kemudian, tawaran mula masuk dan Alhamdulillah, saya ditawarkan tempat di ketiga-tiga universiti yang saya mohon,” tambahnya lagi. 

Manakala bagi Amerika Syarikat pula, Adrianna memberitahu bahawa beliau telah mengemukakan permohonan ke Cornell Universiti melalui aplikasi Common App. 

“Universiti di Amerika Syarat, sebaliknya, mempunyai pendekatan yang lebih holistik iaitu mereka tidak hanya melihat gred anda untuk kemasukan. 

“Mereka juga mengambil kira aspek lain pelajar seperti ekstrakurikuler (ECA) dan mereka juga memerlukan sekurang-kurangnya dua surat cadangan daripada pensyarah saya dan satu daripada kaunselor. 

Katanya, tawaran daripada Amerika Syarikat hampir tidak bersyarat manakala universiti UK bersyarat.

“Perbezaan utama apabila memohon antara kedua-dua universiti ini adalah esei kemasukan UK lebih bersifat akademik manakala esei kemasukan Amerika Syarikat bersifat peribadi. Dalam erti kata lain, saya kena menceritakan kisah hidup saya.

“Dalam esei, saya telah menulis mengenai nama saya, iaitu Karim yang sering kali dikaitkan dengan nama lelaki. Dalam konteks ini kebiasaannya nama ini (Karim) jika diberi kepada perempuan ia membawa malang. Namun begitu ia menjadikan saya lain dari yang lain. Karim sebenarnya membawa maksud ‘yang mulia’ dalam Islam,” katanya. 

Antara yang lain, beliau juga mempunyai banyak pengalaman sewaktu zaman sekolah menengah hingga dapat meyakinkan pihak universiti untuk menawarkannya tempat untuk belajar. 

“Mewakili Malaysia dalam pertandingan sains hinggalah kepada menguruskan acara sekolah sambil mengekalkan gred yang baik untuk hampir setiap peperiksaan, saya percaya ini menyumbang kepada kelulusan permohonan saya,” ujarnya lagi. 

Beliau turut menasihati golongan muda agar tidak mudah berputus asa dalam mencapai impian dan sentiasa mempunyai masa untuk berehat walaupun dalam kesungguhan belajar. 

“Akan ada banyak cabaran yang tidak berkesudahan sewaktu belajar. Semua ini adalah sebahagian daripada perkembangnan dan ia tidak semestinya akan menjadi satu perjalanan yang indah.

“Satu tips yang saya boleh kongsikan adalah sentiasa memberikan ganjaran apabila berjaya menyiapkan sesuatu tugasan. Bagi saya, saya akan menghargai diri selepas seharian belajar dengan menonton cerita di Netflix terutamanya pada malam Sabtu,” ujarnya lagi. 

Menutup bicara, apabila beliau telah membuat keputusan tepat dan tamat pengajian, beliau akan kembali ke Sarawak dan membantu menyumbang sesuatu kepada negeri kesayangannya.

“Walaupun kedengarannya agak klise, saya ingin membalas budi kepada komuniti setempat kerana seseorang itu tidak akan berjaya tanpa bantuan orang di sekelilingnya,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan

No data was found