Search
Close this search box.
Lima nelayan warga asing ditahan selepas didapati melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan di perairan negara semalam. Foto: APMM Pulau Pinang

Lima nelayan asing ditahan kaut hasil perikanan negara guna bot tempatan

GEORGE TOWN, 24 Jan: Seramai lima nelayan warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas didapati menangkap ikan di perairan negeri ini menggunakan bot tempatan pada kedudukan 13 batu nautika, barat daya Pulau Kendi dekat sini semalam.

Nelayan berusia 27 hingga 55 tahun itu ditahan kapal APMM yang membuat rondaan menerusi Op Pertiwi dan Op Tanjung sekitar jam 4.50 petang.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Abdul Razak Mohamed berkata, seorang tekong warga Thailand dan empat kru warga Myanmar ditahan selepas dua daripadanya gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, selain melanggar syarat sah lesen.

“Mereka didapati menggunakan bot nelayan tempatan kelas C yang berpangkalan di Pantai Remis, Perak.

“Bot berkenaan bersama kru dan kira-kira 100 kilogram hasil laut kemudiannya dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati nelayan berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen dengan menggunakan kru asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“APMM mendapati masih ada segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan Pendatang Tanpa Izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini.

“Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan