Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bubuk yang ditangkap golongan nelayan di Miri boleh menghasilkan pelbagai produk. Gambar hiasan. Foto: TVS

Limbang dilanda bubuk, rezeki untuk nelayan

LIMBANG, 19 Jan: Kehadiran musim bubuk (udang halus) amat ditunggu kerana keenakannya selain rasanya yang segar.

Bubuk mentah enak dimakan begitu saja, malah boleh dibuat cencaluk (udang jeruk), belacan, cucur bubuk atau diperah limau.

Bagi nelayan tempatan musim bubuk merupakan lubuk rezeki untuk menambah pendapatan kerana permintaannya yang luar biasa.

Bagi nelayan muda Erra Fazriena Yusup 20-an dari Kampung Awat-Awat Lawas, beliau tidak kekok dan ringan tulang membantu ayahnya seorang nelayan yang juga peraih bubuk Yusup Moktar, 43, menjual hasil laut hari ini.

Erra (dua kiri) bersama pembeli bubuk. Foto: TVS

Menurut Erra, rezeki mereka sekeluarga semasa musim bubuk yang melanda Limbang sejak awal bulan ini berlipat kali ganda berbanding hari biasa.

Beliau bersama suaminya, kakak dan ayahnya sanggup berperahu ke Limbang sejauh satu jam menjual bubuk seberat 252 kilogram ke daerah ini kerana permintaan tinggi pembeli di daerah ini.

“Sambutan hari ini sangat luar biasa,terima kasih semua kerana membeli bubuk kami, itu pun tidak cukup semuanya, insyaallah esok kami datang lagi,” katanya ketika ditemui TVS di Jeti Jampalong Kampung Pabahanan sebaik tiba di Limbang hari ini.

Beliau menjelaskan meskipun membawa lebih 200 kilogram bubuk segar, namun dek kerana permintaan yang agak luar biasa pembeli di daerah Limbang, jualan bubuk lesap tidak sampai satu jam.

Katanya seawal jam 11 pagi hari ini ayahnya melabuhkan ‘pukat curut’ selebar 300 meter di perairan Lawas dan tidak sampai setengah jam, pukat berkenaan dipenuhi bubuk seberat 252 kilogram sebelum dijual ke Limbang.

Mengulas lanjut katanya pelbagai pengalaman berliku dihadapinya bersama ayahnya ketika berjual bubuk sama ada ke Limbang, Brunei mahupun ke Sipitang, Sabah sebelum ini.

Antaranya berdepan ribut, enjin rosak, perahu terlanggar batang kayu selain terpaksa balik malam demi mencari sesuap nasi sebagai seorang nelayan.

Bubuk berkenaan yang mendarat di Limbang dikerumuni orang ramai yang tidak melepaskan peluang merasai bubuk segar dari laut.

Yusup menunjukkan bubuk yang dijual ke Limbang. Foto: TVS

Pembeli bukan saja daripada kaum melayu malah juga pembeli berbangsa Iban, Acha Banit, 47 dari Medamit yang sanggup memandu lebih sejam demi membeli bubuk sebanyak 20 kilogram yang dijual pada harga RM10 sekilogram.

“Saya sanggup memandu satu jam lebih dari Medamit gara-gara membeli bubuk untuk membuat belacan sama cencaluk,” kata Acha lagi.

Seorang lagi penggemar tegar bubuk, Ketua Kampung Pabahanan Latif Sabli berkata beliau sanggup turun awal ke jeti kampungnya dari jam 2 petang untuk membeli bubuk segar.

Jelasnya bubuk mentah boleh dibuat belacan, budu ataupun cencaluk dan sangat digemari mereka sekeluarga dan menambah selera makan.

“Bubuk ini adalah salah satu ikan ataupun udang tapi jenisnya kecil tetapi ianya sangat bermakna kepada masyarakat kerananya ia boleh dibuat belacan, cencaluk dan juga budu.

“Selain daripada itu boleh digoreng kering juga,kemudian kita boleh rebus asam pedas,” katanya. –TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan