Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Usaha memelihara Tarian Zapin Sarawak perlu disegerakan supaya tidak hilang ditelan zaman. Foto TVS.

Siri 2: Tarian Zapin Sarawak: Jangan biarkan jadi warisan yang hilang

ByMuqri Aziz

KUCHING, 18 Jan: Mengikut kajian, di Sarawak hanya terdapat dua jenis tarian zapin sahaja yang dikomersialkan kepada umum iaitu Tarian Zapin Sebat dan Tarian Zapin Sindang.

Bagaimanapun, minat masyarakat terhadap Tarian Zapin Sarawak mula pudar sejak lewat 80-an susulan arus pemodenan termasuk aspek komunikasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak (MSS), Dayang Mariana Abang Bolhassan berpendapat, perkara itu membuatkan generasi kini kurang mahir menguasai Tarian Zapin Sarawak.

“Dahulu tidak wujud banyak saluran komunikasi atau hiburan termasuk televisyen. Oleh itu, tarian zapin termasuk Tarian Zapin Sebat menjadi hiburan.

“Bagaimanapun selepas penggunaan televisyen semakin meluas termasuk di kawasan kampung, masyarakat lebih teruja mendapatkan segala bentuk hiburan menerusi siaran televisyen, inilah menyebabkan minat terhadap tarian zapin turut pudar,” katanya ketika ditemui TVS di Rumah Sarawak.

Ditanya mengenai perancangan MSS untuk memulihara warisan itu, Dayang Mariana berkata, langkah berkenaan boleh dilakukan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang sangat penting untuk memastikan budaya di Sarawak terus dikenali.

Siri 1: Tarian Zapin Sarawak, antara minat dan budaya

“MSS memang merancang untuk lakukan R&D namun bukan hanya melibatkan tarian zapin sebaliknya lebih menyeluruh atau mengikut apa yang ingin diangkat semula oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak,” katanya.

Dayang Mariana turut mengakui sekiranya perkara berkaitan dengan budaya dipelihara dan dipromosikan dengan meluas, ia akan menjadi aset kepada Sarawak.

“Kalau sudah diketengahkan, diolah, dipulihara serta diajar kepada generasi muda, warisan ini akan dapat dilestarikan semula,” katanya.

Pada masa sama, beliau mendedahkan MSS sedang merancang untuk membangunkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang fokus bidang Seni Persembahan iaitu Akademi Seni Sarawak (AKSES).

“Kami masih berusaha untuk membangunkan AKSES. Menerusinya, bahan itu akan dipelihara namun kita memerlukan satu penyelidikan yang terperinci supaya menjadi silibus yang sempurna, berbeza dengan universiti lain,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan proses pengajian ditawarkan AKSES kelak tidak akan sama seperti Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“ASWARA mempunyai cara mereka tersendiri. Kita (AKSES) akan ikut Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kelak,” ujarnya.

Sementara itu katanya, Kerajaan Sarawak juga mahu mewujudkan pendidikan seni formal dan menjadikan seni dan kebudayaan Sarawak sebagai pembelajaran yang sistematik.

“Saya berharap agar rakyat Sarawak supaya terus memelihara bukan sahaja Tarian Zapin Sarawak tetapi keseluruhan budaya yang ada di sini supaya tidak hilang,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan