Search
Close this search box.
Datuk Seri Bung Moktar Radin pada sidang media bagi mengumumkan keputusan menarik sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor. Foto: TVS

BN umum tarik diri daripada kerajaan Sabah

KOTA KINABALU, 6 Jan: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah malam ini mengumumkan keputusan mereka menarik diri daripada kerajaan Sabah.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata tindakan itu diambil selepas hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Keputusan itu diumumkan Bung menerusi sidang media selepas mesyuarat parti di sini.

Jelasnya lagi, Hajiji telah melanggar perjanjian antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dibuat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.

Persefahaman politik tersebut antara lain menyebut ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN akan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri dengan syarat melantik menteri kabinet negeri dan pengerusi syarikat milik kerajaan negeri daripada BN.

“Yang Amat Berhormat Hajiji (Ketua Menteri) telah melanggar perjanjian tersebut dengan mengeluarkan surat penamatan jawatan Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai pengerusi Qhazanah Sabah Berhad,” katanya.

Menurutnya, Hajiji turut mengumumkan bahawa satu rombakan Kabinet negeri akan dilakukan.

“Kami membuat keputusan dengan sebulat suara UMNO dan Barisan Nasional menarik diri, menarik sokongan kepada Hajiji selaku Ketua Menteri,” katanya.

Bung mendakwa, dengan penarikan sokongan, Hajiji telah hilang majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah dan tidak berkelayakan untuk memegang jawatan Ketua Menteri.

Menurutnya, selaras dengan Fasal 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah dibaca bersama Fasal 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah, BN akan menyembah maklum kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk menyemak pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Ditanya adakah keputusan itu mendapat sokongan semua ADUN BN Sabah, beliau mengakui ada lima daripada 18 ADUN parti itu tidak menyokong keputusan tersebut, tanpa menyatakan nama ADUN yang terlibat.

“Kita bertindak atas nama parti, walaupun ada ADUN tidak menyokong tetapi pada saya itu tidak mengapa, kerana keputusan parti adalah muktamad dan kita akan mengambil apa juga langkah tegas termasuk tindakan disiplin kepada ADUN khianat, yang tidak menyokong keputusan parti,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan DUN Sabah mempunyai 79 ADUN iaitu 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik.

Dengan tindakan UMNO dan BN Sabah menarik sokongan malam ini, kerajaan Sabah diterajui Hajiji kini mempunyai sokongan 41 ADUN iaitu 29 daripada GRS, PH (tujuh), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (3) dan masing-masing seorang ADUN daripada Parti Harapan Rakyat Sabah dan Bebas.

Warisan mempunyai 19 kerusi manakala PAS satu kerusi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan