Search
Close this search box.
Datuk Seri Hajiji Noor. Foto: Bernama

Notis kekosongan kerusi: Empat Ahli Parlimen Sabah telah hantar jawapan – Hajiji

ByBernama

KOTA KINABALU, 3 Jan: Empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menghantar jawapan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, berhubung notis kekosongan kerusi daripada Bersatu, kata Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengambil maklum Bersatu telah menghantar notis pemakluman mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka Ahli Parlimen itu kepada Dewan Rakyat pada 27 Dis lepas, Hajiji berkata GRS menyerahkan kepada Johari untuk menentukan kedudukan mereka.

“Saya yakin Speaker akan buat buat keputusan terbaik. Banyak spekulasi di luar tetapi kita di dalam (GRS) kita tahu rentetan keadaan yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Bantuan Wang Ihsan Bencana Alam kepada penduduk di Kampung Tanjung Aru Baru di sini hari ini.

Beliau yakin empat Ahli Parlimen berkenaan yang bertanding atas tiket GRS pada Pilihan Raya Umum ke-15, tidak melakukan perkara yang melanggar Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Ahli Parlimen berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Pada 29 Dis lepas Johari dilaporkan berkata status empat Ahli Parlimen tersebut setakat ini kekal serta belum ada kekosongan kerusi mereka, dan keputusan mengenai kedudukan mereka akan diumumkan selepas tempoh 21 hari.

Sebelum ini, Hajiji yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah dilapor berkata pemimpin Bersatu Sabah, membuat keputusan sebulat suara untuk keluar daripada parti itu, namun kekal di bawah GRS.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan Sabah memberikan Bantuan Wang Ihsan Bencana Alam masing-masing sebanyak RM1,000 kepada 36 keluarga di Kampung Tanjung Aru Baru, yang terjejas akibat fenomena air pasang besar pada akhir bulan lepas.

Beliau berkata selain itu tiga keluarga juga akan menerima bantuan masing-masing RM20,000 bagi membina semula rumah mereka yang roboh, manakala 33 lagi keluarga masing-masing menerima RM10,000 bagi membaik pulih rumah yang rosak akibat kejadian tersebut.

Mengenai mangsa fenomena sama di Sandakan, beliau berkata pihak terlibat antaranya pihak berkuasa tempatan, sedang membuat penelitian dan laporan tentang situasi di kawasan itu sebelum melakukan tindakan lanjut.

“Ada beberapa perkara (sedang diteliti) di sana, ada tidak mahu dibina rumah di kawasan tersebut jadi kita mencari kawasan sesuai, ada juga mangsa kita pindahkan ke pemindahan sementara di PPR (Projek Perumahan Rakyat), kita tunggu laporan sebelum buat keputusan dan salur bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata prosedur operasi standard (SOP) mencegah COVID-19 bagi kemasukan pengembara dari China ke Sabah akan diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah esok, namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan