Search
Close this search box.
Penghasilan garam bukit. Foto: Awang Azmil (TVS)

Merungkai khasiat asli garam bukit

ByOdleen Catherny

LAWAS, 31 Dis: Menyelami gaya hidup sihat penduduk pedalaman di Kampung Pa Komap, Ba’Kelalan dirungkai dengan amalan pemakanan daripada khasiat alam semula jadi seperti garam bukit.

Masyarakat di sini menjadikan sumber asli itu ekoran yakin terhadap khasiatnya mampu menjamin kesihatan ke tahap optimum memandangkan garam bukit dikategorikan sebagai bahan perisa bebas kimia.

Berbanding garam biasa yang dihasilkan melalui penyejatan air laut, garam bukit diperoleh hasil dari perlombongan bukit serta diakui mudah didapati di kawasan tanah tinggi berkenaan.

Malahan, sumber asli tersebut juga berupaya mewujudkan aura bersih dan sihat selain dijadikan bahan perisa di dalam masakan.

Baca artikel berkaitan:

  1. 1. Naik taraf infrastruktur di Lawas, angkat nilai komersial garam bukit
  2. 2. Sarawak perkasa pengkomersialan garam bukit

Mendekati masyarakat kampung tersebut, penulis berpeluang ke Kampung Pa Komap, Ba’Kelalan yang hanya boleh dikunjungi menggunakan laluan ‘off road’ dengan perjalanan darat sekitar 4 jam dari jalan utama.

Menurut sejarah, penulis dimaklumkan bahawa pusat penghasilan dan pemprosesan garam bukit di sini berada di lokasi berhampiran dengan sebuah perigi buatan yang kini berusia hampir 50 tahun.

Perigi dengan kedalaman lebih tujuh kaki itu dibina pada tahun 1976 menjadi ‘tapak tadahan’ untuk mengumpul mata air garam yang keluar daripada kerak bumi.

Berbanding sebelumnya, sekitar tahun 70-an penduduk di tiga penempatan kampung iaitu Pa Komap, Buduk Bui dan Punang Kelalan tidak lagi menggali kaki bukit namun hanya bergantung sepenuhnya pada mata air garam daripada perigi tersebut.

Uniknya, pencarian dan penghasilan bentuk baharu garam bukit ini kini menjadi tradisi penduduk sejak turun temurun kerana aura yang dihasilkan khazanah alam itu.

Kelihatan seakan mudah namun proses tersebut memerlukan teknik yang betul kerana perlu menyeimbangkan ekosistem alam semula jadi.

Berkongsi pengalaman bersama pembekal utama garam bukit di Kampung Buduk Nur, Jerry Sakai, 42, mendedahkan sepanjang proses pembuatan garam bukit, seseorang itu perlu memiliki kesabaran, kecekalan dan keikhlasan dalam usaha memperoleh produk yang berkualiti tinggi.

Foto: Awang Azmil (TVS)

“Saya memasak garam bukit ini setiap hari, kadang-kadang mengambil masa selama 3 hingga 4 hari untuk proses penyejatan sehingga kering menjadi garam bukit,

“Sepanjang tempoh itu juga, saya terpaksa meluangkan masa siang dan malam di tempat pemprosesan untuk memastikan kayu api yang dibakar terus marak,” katanya.

Usaha gigih Jerry menyaksikan 52 pintu kediaman di Kampung Buduk Nur memperoleh bekalan garam bukit yang dihasilkan olehnya di Pa Komap.

Bagi memudahkan lagi kerjanya, Jerry telah mengusahakan satu inovasi saluran paip secara terus daripada perigi kepada kilang pemprosesannya.

“Saya mendapat ilham membuat inovasi ini kerana saya tengok air sungai boleh mengalir turun, jadi saya terfikir mustahil sekiranya air yang dikumpul dalam perigi tidak dapat mengalir turun juga kerana perigi itu terletak di kawasan yang agak tinggi,

“Oleh itu, saya mencuba menyambung hos paip dari perigi sehingga ke kilang saya ini dan untuk mengawal kuantiti air yang masuk, saya juga telah memasang kepala paip, jadi ia lebih mudah sekarang,” jelasnya lagi sambil menambah inovasi tersebut bergantung sepenuhnya kepada graviti muka bumi.

Menurut Jerry lagi, dalam satu kitaran proses dengan menggunakan kaedah tradisional, dia mampu memperoleh hasil garam bukit sehingga 25 kilogram (kg).

“Dalam sebulan, pendapatan saya menjadi pembekal garam bukit untuk Kampung Buduk Nur sahaja boleh mencecah RM2,500 untuk satu kitaran proses penyejatan membabitkan 25 kg berat garam bukit,

“Itu untuk satu kitaran. Dalam satu bulan juga saya ada masanya memproses sehingga tiga kitaran bergantung kepada permintaan penduduk,” ujar Jerry yang sudah mengusahakan perniagaan itu selama lebih tiga tahun.

Setiap butiran garam bukit yang berkilau bak kristal kata Jerry membawa khasiat pemakanan dengan kandungan lebih daripada 70 jenis mineral, termasuk kalsium, magnesium dan zink.

Daripada hasil alam kepada menjana hasil pendapatan yang lumayan, Jerry menjual satu kg garam bukit pada harga RM25 peruncit dan dijual semula termasuk menembusi pasaran Semenanjung Malaysia. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan