Search
Close this search box.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali mendengar taklimat mengenai kejadian rumah roboh akibat fenomena air pasang besar di Kampung Forest, Sandakan, hari ini. Foto: TVS

Monsun Timur Laut melanda negara dijangka lebih serius tahun ini

SANDAKAN, 27 Dis: Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negara tahun ini dijangka berlaku lebih serius berbanding tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata salah satu indikator penting apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara meningkat 67 peratus berbanding sebelum ini.

Katanya, setakat pagi hari ini, terdapat 121,864 orang mangsa dipindahkan ke PPS walaupun baharu dalam tempoh sebulan MTL melanda negara.

“Sehubungan itu, kita ingin berpesan kepada masyarakat supaya peka dengan amaran dikeluarkan selain mematuhi arahan dan nasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) khususnya jika berlaku kejadian tidak menentu,” katanya di Kampung Forest di sini, hari ini.

Terdahulu beliau diberi taklimat oleh Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berhubung fenomena air pasang besar yang berlaku pada Sabtu lepas yang menyebabkan 108 rumah roboh akibat dipukul ombak besar.

Kejadian itu telah mengakibatkan seramai 686 mangsa kehilangan tempat tinggal dan terpaksa ditempatkan di PPS, Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2.

Foto: MTTK Sabah

Mengenai kejadian itu, Armizan berkata bantuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan disalurkan kepada mangsa terlibat dengan segera selepas mendapat laporan dan penilaian daripada JPBD berhubung keadaan dan status bencana.

Katanya, ia termasuk mempertimbang pemberian Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR), Bantuan Ihsan Kematian sebanyak RM10,000, bantuan pembaikan rumah sehingga RM5,000 dan bantuan pembelian barangan khas sebanyak RM2,500 kepada mangsa yang dikenal pasti.

“Sekarang usaha yang paling penting adalah memindahkan mangsa ke PPS, membuat pemantauan serta menjaga kebajikan mereka.

“Mungkin tempat lain berbeza keperluan. Di Kampung Forest ini penduduk kehilangan tempat tinggal. Oleh itu, kita perlu lihat tempoh untuk mereka dibenarkan berada di PPS memandangkan perkampungan itu masih berisiko berdepan dengan MTL sehingga 31 Disember,” jelasnya. – TVS

Foto: MTTK Sabah

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan