Search
Close this search box.
Para tetamu yang berkunjung ke rumah terbuka Krismas di rumah Kaunselor Daniel Taha di Limbang, hari ini. Foto: TVS

Pengunjung rumah terbuka Krismas kagum dengan perpaduan di Sarawak

LIMBANG, 26 Dis: Pengunjung rumah terbuka Krismas dari Semenanjung Malaysia dan Singapura kagum dengan perpaduan, keunikan budaya dan makanan di Sarawak, sekali gus memberi pengalaman baharu dan berharga.

Pengarah Hospital Limbang, Dr Syed Satahkatulah Mohamed Kalik yang mengunjungi rumah terbuka Krismas anjuran Ahli Majlis Daerah Limbang, Kaunselor Daniel Taha menyifatkan ia sebagai amat berbeza dan unik dari segi layanan dan juadah.

Menurutnya, rumah terbuka yang dihadiri masyarakat pelbagai kaum dan agama mencerminkan perpaduan.

“Ini adalah pertama kali saya dan keluarga dapat berkunjung ke rumah terbuka sempena Krismas di Sarawak iaitu di Limbang.

“Saya berasa sangat bertuah dan bersyukur kerana ini adalah satu peluang yang amat saya nanti-nantikan,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi, meskipun pernah berkunjung ke rumah terbuka Krismas di Semenanjung, namun layanan mesra, kepelbagaian juadah etnik di Sarawak telah menambat hati mereka sekeluarga.

Beliau turut berpeluang mengunjungi rumah terbuka rakan-rakannya di rumah panjang bersama isterinya  Sharina Iqbal dan anak perempuan mereka Maghrifah Fatrisya yang disifatkannya sebagai satu pengalaman manis.

“Di rumah panjang kami dapat merasakan mereka juga sangat  menghormati agama kita dengan  menyediakan makanan halal,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Singapura, Shabana Iqbal mengakui rumah terbuka Krismas di sini menampilkan keunikan masyarakat pelbagai kaum.

Beliau tertarik dengan kepelbagaian budaya masyarakat di Sarawak yang hidup saling hormat menghormati dan menjadi contoh terbaik perpaduan kaum di Malaysia.

“Penduduk di sini sangat peramah, sangat menghormati, sangat mengalu-alukan kunjungan kami ke rumah mereka,” katanya.

Sementara itu, Daniel menyifatkan sambutan kali ini amat meriah kerana ahli keluarga, saudara mara dan rakan-rakan dapat berkumpul semula selepas dua tahun dilanda pandemik COVID-19.

“Pada tahun ini sambutan sangat meriah berbanding sebelumnya kerana Perintah Kawalan Pergerakan akibat COVID-19,” jelasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan