Search
Close this search box.
Rumah atas air di Kampung Forest yang musnah akibat fenomena air pasang besar semalam. Foto: TVS

70 rumah musnah akibat fenomena air pasang besar di Sandakan

SANDAKAN, 25 Dis: Sebanyak 70 buah rumah atas air di Kampung Forest di sini musnah akibat fenomena air pasang besar, semalam.

Kejadian lebih kurang jam 10 malam itu telah menyebabkan hampir 400 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya dengan kerjasama agensi keselamatan yang lain telah berjaya memindahkan 63 buah keluarga terlibat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2.

Sementara itu, katanya, pusat kawalan operasi bencana turut diwujudkan di lokasi kejadian bagi menyelaras operasi serta memudahkan urusan membantu mangsa terlibat.

“Penduduk pesisir laut di daerah ini terus diingatkan agar sentiasa berwaspada ekoran fenomena air pasang besar dijangka berterusan pada malam ini (Ahad) dan esok.

“Untuk tujuan keselamatan, kita minta mereka untuk mengosongkan rumah pada jam 6 petang. Mereka boleh menumpang sementara di rumah keluarga ataupun menunggu arahan berpindah dari pihak berkuasa,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) agar penduduk terjejas boleh tinggal sementara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang kosong.

Katanya, Taman Harmoni ketika ini mempunyai sebuah blok rumah kosong yang boleh digunakan untuk menempatkan mangsa terlibat.

“Kita tahu blok rumah kosong itu ada yang rosak dan ada peralatan yang telah dicuri. Tetapi dalam keadaan kecemasan seperti ini, rasanya penduduk terlibat lebih memilih untuk tinggal di PPR berbanding di tepi laut yang sangat berbahaya,” jelasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan