Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Zulkipli bersama tiga pegawai BSJKD IPD Sibu bercakap pada sidang media hari ini. Foto TVS.

Geng Jason tumpas, tiga ditahan, disyaki sindiket beli kad ATM di Sibu

SIBU, 21 Dis: Polis Sibu berjaya menumpaskan kegiatan sindiket keldai akaun yang dikenali sebagai Kumpulan Jason dengan tertangkapnya tiga suspek lelaki.

Tiga suspek terbabit termasuk dua lelaki berusia 21 dan 24 tahun ditahan pada 14 Disember lalu manakala dalang sindiket pengutip kad ATM terbabit berusia 31 tahun dicekup semalam.

Antara barang kes yang dirampas susulan penangkapan tiga ahli Kumpulan Jason.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, kesemua suspek ditangkap adalah hasil daripada risikan sepasukan polis dari unit risikan Bahagian Siasatan Kenayah Komersil Daerah (BSJKD) IPD Sibu sejak Jun lalu.

“Kumpulan ini diterajui oleh seorang lelaki warga tempatan dikenali sebagai ‘Jason@Ah Long’ di mana hasil tangkapan ini adalah daripada risikan yang dijalankan sejak bulan jun 2022,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, ketua sindiket ini akan merekrut ejen dalam kalangan orang tempatan untuk mencari mangsa yang berminat untuk menyewa, menjual akaun bank dan setiap akaun yang disewa atau dijual.

Jelasnya, pemilik akaun yang berkenaan akan dibayar pada kadar antara RM400 hingga 500 bergantung kepada jenis akaun dan bank.

“Siasatan awal pihaknya mendapati kad ATM yang diterima terlibat dengan kegiatan penipuan atas talian seperti pinjaman tidak wujud, e-dagang, macau scam dan tipu tawaran pekerjaan sambilan.

“Berikutan tangkapan ini, pihak polis telah berjaya merampas 13 keping kad ATM bank yang bakal dihantar kepada sindiket lain dan 16 keping simkad, satu kad pengenalan atas nama seorang perempuan tempatan, enam telefon bimbit dan sebuah kereta Perodua Axia.

Jelasnya lanjut, hasil semakan di dalam telefon bimbit yang dirampas dan semakan melalui Sistem Commercial Crime Intelligence System (CCIS) mendapati 11 akaun bank lain yang telah disewa terlibat dengan sembilan kes yang telah dibuka kertas siasatan di mana melibatkan kerugian berjumlah RM175,013.99.

Zulkipli menambah penahanan dua suspek terdahulu telah membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki dipercayai dalang utama sindiket pengutip kad ATM iaitu Kumpulan Jason tersebut pada Selasa.

“Tangkapan tersebut merupakan yang pertama di Sibu,” ujarnya.

Dalam pada itu Zulkipli juga menasihati orang ramai agar tidak menyerahkan atau memberikan maklumat akaun kepada mana-mana pihak bagi mendapatkan keuntungan dalam bentuk wang.

“Ini akan mendatangkan lebih banyak masalah dan kemudaratan daripada penyelesaian,” tegasnya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan kerana menipu dan cubaan menipu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan