Search
Close this search box.
Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah. Foto: TVS

Terima kasih Brunei, hanya kenakan caj EES untuk setiap kenderaan – Hasbi

LIMBANG, 7 Dis: Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah berterima kasih serta menghargai keputusan kerajaan Brunei yang hanya mengenakan caj perkhidmatan bagi Sistem Keluar dan Masuk (EES) untuk setiap kenderaan berbanding sebelum ini caj dikenakan kepada setiap individu.

Menurut Hasbi kadar caj yang bermula 12 Disember ini, disifatkan berita baik dan amat dinantikan oleh rakyat Sarawak terutama penduduk di bahagian Limbang yang menggunakan laluan darat.

Brunei kenakan caj keluar, masuk negara bermula 12 Disember

“Kita amat berterima kasih kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan kerajaan Brunei yang hanya mengenakan caj perkhidmatan bagi EES untuk setiap kenderaan sahaja.

“Terima kasih juga kita zahirkan kepada kerajaan Brunei yang melanjutkan tempoh masa di pos sempadan hingga pukul 10 malam berbanding pukul 7 malam serta memansuhkan insurans perjalanan yang meliputi perlindungan bagi rawatan COVID-19 bermula 1 Disember lalu,” katanya kepada TVS hari ini.

Hasbi menjelaskan lagi keputusan yang dibuat negara jiran itu membantu mengurangkan beban rakyat di utara negeri ini terutama mereka yang mempunyai ahli keluarga yang dan bergantung kepada laluan darat untuk urusan seharian.

Beliau berkata keputusan itu hasil hubungan dan kerjasama baik antara Malaysia dan Brunei selama ini.

“Secara peribadi saya amat berterima kasih kepada Brunei dan keputusan ini adalah hasil rundingan kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan sebelum ini,” ujarnya.

Hasbi memberitahu keputusan berkenaan dicapai setelah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, bersama-sama dirinya serta Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong dan ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang membincangkan perkara tersebut pada mesyuarat secara maya antara dua negara yang membabitkan Sarawak dan Brunei sebelum ini.

DIfahamkan Jawatankuasa Pandu COVID-19 Negara Brunei semalam memaklumkan caj perkhidmatan EES akan dikenakan ke atas setiap kenderaan sahaja bagi perjalanan melalui kesemua pos kawalan darat di Negara Brunei Darussalam mengikut kadar-kadar tertentu bermula 12 Disember ini.

EES turut dikenakan mengikut kategori tertentu iaitu bagi kenderaan penumpang dengan muatan tidak melebihi tujuh orang termasuk pemandu, akan dikenakan bayaran sebanyak BND 3 setiap kenderaan bagi satu hala perjalanan.

Manakala bagi kenderaan penumpang dengan muatan lebih daripada tujuh orang hingga 25 orang termasuk pemandu, seperti van atau bas mini, akan dikenakan bayaran sebanyak BND 6 setiap kenderaan bagi satu hala perjalanan.

Bagi kenderaan penumpang dengan muatan lebih daripada 25 orang termasuk pemandu, seperti bas pula akan dikenakan bayaran BND 10 dan kenderaan komersial yang tidak akan memerlukan pemeriksaan melalui mesin pengimbas (x-ray), akan dikenakan bayaran sebanyak BND 6.

Manakala itu, kenderaan komersial yang perlu menjalani pemeriksaan melalui mesin pengimbas, akan dikenakan bayaran sebanyak BND 10.– TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan