Search
Close this search box.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto: BERNAMA

Kesepakatan pengukur Kabinet Kerajaan Perpaduan – Penganalisis

ByBernama

KUALA LUMPUR, 7 Dis: Pengukur kepada Kabinet Kerajaan Perpaduan adalah aspek kesepakatan dan kerjasama sebagai satu kumpulan meskipun jemaah menteri dari parti politik yang berbeza.

Penganalisis Sosiobudaya Profesor Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi berkata, naratif bahawa kerjasama sukar dibentuk antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah tidak tepat berikutan kedua-dua parti itu berkongsi asas ‘kepelbagaian budaya’ yang sama.

“BN daripada awal merupakan parti berbilang kaum, kita lihat PH juga mempunyai persamaan dengan adanya DAP. Sama juga bagi parti Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Situasi ini pula berbeza bagi Bersatu dan PAS yang lebih kepada satu kaum atau agama. Maka, mustahil jika ketiga-tiga (BN, PH dan GPS) parti yang ‘bergaduh’ sebelum ini tidak boleh bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membincangkan mengenai topik Kabinet Perpaduan: Kekuatan 28 Portfolio pada program Ruang Bicara terbitan BernamaTV, malam tadi.

Sementara itu, mengulas pembentangan usul undi percaya pada Persidangan Dewan Rakyat 19 Disember ini, Mohd Tajuddin berkata, semua ahli Parlimen perlu bersatu dan bekerjasama bagi menghadapi ‘ujian’ pada hari tersebut (19 Disember) dalam usaha menyelamatkan serta memajukan negara meskipun berbeza ideologi dan parti politik.

“Keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dikatakan pada 19 Disember ini saya tidak lihat ia keabsahan beliau tetapi itu adalah ujian ahli-ahli Parlimen, adakah mereka bersatu dan bersedia untuk mempertahankan negara. Maka ini adalah ujian kepada mereka dan bukannya Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PEACE Malaysia Dr Zokhri Idris pula berkata, pelantikan jemaah menteri Kabinet dilihat tepat berdasarkan latar belakang kepakaran masing-masing.

“Benar terdapat dua kedudukan yang dipertikaikan namun itu tidak boleh menjadi punca dalam menyoal kesesuaian pelantikan jemaah menteri. Saya lihat kadar kesesuaian itu tinggi dan (jemaah menteri) diletakkan pada kedudukan kementerian yang betul.

“Saya rasakan masih terlalu awal untuk kita menilai kelompongan yang ada pada kementerian itu kerana posisi pelantikan bagi timbalan menteri itu masih belum lengkap. Beri peluang kepada Kerajaan Perpaduan ini menerajui negara,” katanya.

Zokhri turut berharap agar jemaah menteri dapat memperlihatkan nilai keterangkuman dan semangat kemuafakatan berdasarkan ‘kepimpinan melalui teladan’ yang dilihat mampu memberi kesan domino ke arah kesejahteraan rakyat. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan