Search
Close this search box.
Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menghadiri majlis di Kampung Malaysia Jaya, Petra Jaya, di sini, hari ini. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Program kesedaran alam sekitar perlu diperhebat di Sarawak

ByOdleen Catherny

KUCHING, 3 Dis: Program berkaitan kesedaran alam sekitar perlu diperhebatkan lagi di seluruh Sarawak, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Cadangan sedemikian diluahkan susulan beliau melihat masih kurang pemahaman dalam kalangan komuniti mengenai kepentingan untuk menjaga alam sekitar terutamanya dari segi mengamalkan kitar semula.

“Program-program kesedaran perlu diperbanyakkan agar pendedahan dapat dilaksanakan secara menyeluruh kepada masyarakat kita.

Kita perlu menggalakkan budaya kitar semula dalam komuniti kita. Di sinilah program kesedaran memainkan peranan penting kerana tidak semua faham dan sedar apa itu kitar semula ataupun pengasingan sisa pepejal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya untuk Program Kesedaran Alam Sekitar di Kampung Malaysia Jaya, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sharifah Hasidah menekankan setiap masyarakat perlu mendisiplinkan diri untuk mengitar semula sebagai sebahagian usaha kecil bagi memelihara alam sekitar.

Peranan setiap individu penting katanya lebih-lebih lagi kerajaan Sarawak kini meletakkan fokus kepada pembangunan lestari.

“Selain daripada pembangunan, kerajaan negeri kita juga fokus kepada mengukuhkan serta memulihara alam sekitar kita,” tegasnya lagi.

Pada masa sama beliau menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Trienekens Sarawak Sdn Bhd atas usaha penganjuran program tersebut.

Sementara itu, Program anjuran DBKU dengan kerjasama Trienekens  itu bermatlamat untuk menggalakkan amalan mengurus sisa dan meningkatkan kesedaran serta memupuk perubahan tingkah laku di kalangan penduduk setempat mengenai isu alam sekitar.

Menurut kenyataan DBKU, jumlah terkumpul bahan kitar semula sehingga 24 Oktober 2022, adalah sebanyak 13,558kg sejak mula dilaksanakan pada April 2021 menerusi Program Perintis Pengasingan Sisa Pepejal dilaksanakan Komuniti Kampung Tunku dan Kampung Malaysia Jaya.

Bilangan keseluruhan rumah terlibat adalah 765 buah rumah iaitu sekitar 32 peratus purata kadar penyertaan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan