Search
Close this search box.
Usaha Cikgu Muhammad Nazmi mempelbagaikan kaedah mengajar telah membuka mata pelbagai pihak. Foto Facebook Nazmi Rosli.

Ustaz ‘bidan terjun’ promosi keharmonian di Lawas, raih pengiktirafan

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 29 Nov: Pada mulanya, Muhammad Nazmi Rosli dilantik sebagai guru sementara bagi subjek Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) Luagan, Lawas.

Ini kerana sekolah itu tidak mempunyai guru untuk mengajar mata pelajaran berkenaan.

Muhammad Nazmi, 29, menyahut cabaran yang dilontarkan walaupun pada hakikatnya beliau merupakan seorang guru bahasa Inggeris.

Guru muda yang berasal dari Lawas ini kemudiannya melakukan perkara luar biasa apabila beliau tidak sekadar mengajar berpandukan sukatan pelajaran yang ditetapkan.

Cikgu Nazmi ‘mengambil tanggungjawab’ dengan mengajar murid – muridnya yang beragama Islam untuk memahami dan seterusnya mampu melakukan sertu.

Sertu ialah proses menyucikan sesuatu daripada najis berat iaitu anjing, babi, dan keturunannya.

Ini kerana beliau mengajar di kawasan yang mempunyai penduduk majoriti bukan beragama Islam.

Oleh itu, memelihara anjing di rumah panjang atau kawasan kediaman merupakan perkara biasa.

Kawasan sekitar juga turut dihuni oleh komuniti Islam menuntut percampuran masyarakat dalam beberapa aktiviti yang dianjurkan.

Ini memungkinkan pelajar Islam tersentuh najis berat yang disebut tadi.

Dalam Islam, sekiranya tersentuh najis berat, wajib disertu.

Ajar murid – murid sayang haiwan

Bercakap kepada TVS baru-baru ini, Muhammad Nazmi berkata, beliau mengajar proses sertu itu kepada murid tahun empat di sekolah berkenaan. 

Muhammad Nazmi berkata, selain mengajar tentang sertu, beliau juga menambah topik baharu iaitu cara menyantuni haiwan yang dianggap haram dalam Islam.

Guru muda ini turut menggunakan kreativiti dalam proses pembelajaran supaya muridnya tidak mudah hilang fokus. Foto: Nazmi Rosli

 

Muhammad Nazmi yang menjadi guru sejak 2017 berkata, beliau mahu mengubah persepsi pelajar beragama Islam terhadap haiwan yang dianggap haram kerana pengalamannya mengajar di kawasan pedalaman.

“Kejadian pertama berlaku ketika saya menjadi guru pelatih pada 2014. Ketika itu saya ingin menganjurkan acara di sebuah rumah panjang di Miri.

“Saya menghadapi masalah untuk mendapatkan penyertaan daripada penduduk Islam setempat yang enggan mengambil bahagian kerana terdapat banyak anjing di situ,” katanya.

Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula katanya walaupun kelas secara dalam talian dilakukan, namun guru masih perlu menghantar nota kepada murid mereka di rumah panjang.

“Guru yang beragama Islam menghadapi masalah kerana terdapat anjing di rumah panjang,” katanya.

Sejak itu, Nazmi berkata, beliau mahu mengubah persepsi rakan – rakannya dan anak murid supaya ‘tidak takut’ kepada anjing kerana menurut ajaran Islam, terdapat kaedah untuk menyelesaikan masalah itu.

Foto: Nazmi Rosli

“Cara terbaik ialah menerusi pendidikan. Apabila mengajar murid – murid, saya berharap agar mereka dapat berkongsi ilmu itu dengan ibu bapa masing – masing,” katanya.

Kata Muhammad Nazmi, beliau turut berkongsi pengalaman mengajar proses sertu itu menerusi Facebook dan tidak menyangka ramai yang menyokong tindakannya.

Cerita cikgu berkenaan yang merupakan lulusan Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak di Miri, beliau perlu menjadi lebih kreatif dalam proses berkenaan bagi memastikan muridnya lebih mudah untuk faham.

“Saya menggunakan anak patung anjing untuk mengajar murid dengan lebih mendalam.

“Kementerian Pendidikan pula sentiasa menggalakkan para guru untuk menjadi lebih kreatif ketika mengajar,” katanya.

Kata Muhammad Nazmi, beliau berkongsi perkara itu untuk manfaat rakan sekerja selain berharap agar ia dapat memberi idea kepada mereka semasa proses mengajar.

Inovasi Cikgu Nazmi dinobat pemenang Kempen Guru Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21)

Inisiatif yang dilakukan Muhammad Nazmi mendapat perhatian sehingga dinobatkan sebagai Pemenang Kempen Guru Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK 21).

Panel pemilih tertarik melihat usaha beliau mengajar berdasarkan pengalaman dan seterusnya mencipta simulasi dalam kelas yang turut melibatkan penyertaan murid – murid.

“Walaupun tinggal di kawasan luar bandar, saya mahu mereka mempunyai pengalaman dunia sebenar.

“Saya percaya bahawa proses pengajaran dan pembelajaran lebih daripada sekadar menghuraikan topik dalam buku teks semata – mata,”katanya.

Kata Muhammad Nazmi, persekitaran di kawasan beliau mengajar masih terasing dari dunia luar selain mempunyai akses internet yang terhad.

“Namun begitu, salah seorang murid saya berpeluang pergi ke bandar bersama keluarganya dan melihat mesin layan diri dan seterusnya berkongsi pengalamannya dengan rakan sekelasnya,” katanya.

Mendapat idea berdasarkan kisah muridnya itu, Muhammad Nazmi berkata, beliau kemudian ‘mencipta’ mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk kegunaan muridnya.

“Saya boleh ambil jalan pintas dengan menunjukkan video mesin layan diri di YouTube kepada mereka namun saya mahu murid merasai pengalaman menggunakan mesin yang dicipta,” tambahnya.

Foto: Nazmi Rosli

Kini, anak didik Cikgu Nazmi mempunyai pengalaman pergi ke pantai, kedai haiwan peliharaan, tempat kejadian jenayah, hospital dan juga angkasa lepas namun semuanya di dalam bilik darjah berdasarkan simulasi ciptaannya.

Nazmi berkata, dia menggunakan kotak-kotak lama dan beg plastik untuk menghasilkan prop tempat-tempat berkenaan dan menyedari muridnya sangat seronok mengikuti sesi pembelajaran.

“Ibu bapa turut memberi sokongan apabila menyumbang bahan-bahan yang boleh digunakan dalam aktiviti pembelajaran.

“Mereka mengaplikasi perkara yang telah diajar di luar bilik darjah,” katanya.

Ditanya saat manis selepas menggunakan kaedah simulasi dalam pengajaran, Muhamamd Nazmi berkongsi kisah seorang muridnya yang mempunyai penguasaan rendah dalam semua subjek.

“Pada suatu hari, saya bertanya apakah kerja yang diberikan sudah siap, murid berkenaan menjawab belum lagi.

“Itulah kali pertama dia bercakap dalam bahasa Inggeris selepas tiga tahun,” katanya.

Foto: Nazmi Rosli

 

Jangan hilang motivasi jika mengajar di luar bandar

Guru-guru yang ditempatkan di luar bandar mudah hilang motivasi terutamanya apabila berjauhan dengan keluarga dan kampung halaman.

Perkara itu turut diakui oleh Muhammad Nazmi namun beliau tidak mahu patah semangat.

“Ini adalah antara cabaran unik apabila mengajar di kawasan luar bandar namun guru perlu belajar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan,” katanya.

Katanya lagi, guru perlu berusaha untuk menyediakan rancangan pengajaran yang menarik dengan bahan dan sumber pengajaran tambahan.

“Ramai guru di luar bandar teragak-agak untuk melaksanakan PAK21 kerana menganggap ia sangat bergantung kepada teknologi.

“PAK21 masih boleh diterapkan di dalam bilik darjah selagi kita menggabungkan semua elemennya termasuk komunikasi, kreativiti serta nilai dan etika,” katanya.

Cikgu Nazmi Rosli menyantuni pelajarnya di SK Luagan, Lawas. Foto: Nazmi Rosli

 

Ibu sumber inspirasi utama

Ditanya bagaimana beliau boleh ‘terjebak’ dalam profesion perguruan, Muhammad Nazmi berkata, sejak kecil lagi minat untuk bergelar pendidik sudah mekar dalam jiwanya.

Oleh itu katanya menjadi seorang guru sentiasa menjadi cita-citanya.

“Selain itu saya mahu mengikut jejak ibu yang juga seorang guru.

“Saya teruja melihat ibu membuat persiapan menyediakan bahan bantu mengajar untuk pelajarnya,” katanya.

Pada masa sama katanya, dia mahu murid-muridnya sentiasa menanam impian yang lebih besar dan mahu mereka berusaha untuk mencapainya.

“Saya selalu memberitahu mereka yang langit tiada had kerana manusia telah berjaya mendarat di bulan.

“Mereka perlu berusaha lebih keras dan membuktikan bahawa mereka juga boleh berjaya. Ia mungkin kelihatan seperti mimpi, tetapi tidak mustahil,” katanya lagi.

Menutup bicara, Muhammad Nazmi memberitahu, beliau masih aktif berkongsi kaedah mengajar menerusi laman Facebooknya iaitu Little Lessons by Little Chuckee untuk memberi semangat dan idea kepada rakan-rakannya supaya lebih kreatif ketika mengajar. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan