Search
Close this search box.
Lembaga Air Kuching mensasarkan peningkatan kapasiti liter air sehari (mld). Foto hiasan, Envato.

Liputan bekalan air di Sarawak capai 83.7 peratus pada suku kedua 2022

BySalasiah Safian

KUCHING, 29 Nov: Liputan bekalan air bersih di Sarawak meningkat daripada 81.1 peratus kepada 83.7 peratus pada suku kedua 2022.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi yang berkata demikian, menambah daripada jumlah itu, liputan bekalan air di kawasan bandar ialah 99 peratus manakala luar bandar 67.2 peratus.

“Kementerian saya amat komited untuk menyediakan kemudahan bekalan air bersih, selamat dan berterusan kepada rakyat Sarawak,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Menjelaskan lagi, beliau berkata liputan bekalan air di luar bandar telah meningkat daripada 61.9 peratus pada 2018 kepada 67.2 peratus setakat suku kedua 2022.

Jelasnya, pelaksanaan pembangunan bekalan air adalah berdasarkan kepada Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak.

Pelan induk ini menyediakan pelan hala tuju untuk jangka masa pendek sehingga 2025, jangka masa sederhana sehingga 2040 dan jangka masa panjang sehingga 2070.

“Objektif pelan induk ini adalah untuk membangunkan sistem grid air yang merangkumi pembangunan sumber air mentah, perawatan dan pengagihan air.

“Ia akan menghubungkan semua loji utama yang merentasi seluruh Sarawak dan membentuk sistem grid air yang berterusan,” katanya.

Sebagai pelengkap kepada pembangunan sistem grid air Sarawak, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi akan meneruskan Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) untuk membekalkan air bersih dan selamat kepada rakyat di kawasan terpencil di Sarawak.

“Sehingga kini, lima pakej SAWAS Fasa 1 telah siap yang bernilai RM50 juta yang memanfaatkan 594 isi rumah.

“Fasa 2 melibatkan pelaksanaan 22 pakej SAWAS yang bernilai RM135 juta dan 13 pakej daripadanya telah siap. SAWAS Fasa 2 ini akan memberi manfaat kepada 1,548 isi rumah,” ujarnya.

Dalam pada itu, pendigitalan dan pemodenan sistem bekalan air telah dibuat untuk perkhidmatan seperti pembayaran bil air, permohonan meter air, permohonan dan pembaharuan lesen jurugegas paip, penyambungan paip dan sijil produk bekalan air boleh dibuat secara atas talian melalui e-Utilities, iWater dan Service Sarawak.

Sebagai contoh, perkhidmatan iWater yang diperkenalkan oleh Lembaga Air Kuching membolehkan pengguna untuk menyemak bil air dan membuat pembayaran melalui aplikasi S Pay Global.

Satu lagi langkah yang diambil untuk pendigitalan adalah pewujudan Command Centre oleh JBALB yang memudahkan pemantauan infrastruktur bekalan air serta sistem rangkaian air secara atas talian.

Selain itu, pusat kawalan akan dapat menghubungkan agensi-agensi berkaitan bagi menggalakkan kolaborasi dan memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan bekalan air.

“Bagi mengurangkan masalah berkaitan dengan bil air, Kementerian saya melalui semua agensi bekalan air telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan program pemasangan smart meter. Sehingga kini sebanyak 36,500 unit smart meter sudah siap dipasang merangkumi bahagian Kuching seperti di Samariang 5,000 unit, Darul Hana 500 unit dan Bau 3,000 unit.

“Manakala di bahagian Serian 16,000 unit dan 12,000 unit di bahagian Samarahan. Program pemasangan smart meter (meter pintar) masih diteruskan sehingga merangkumi pengguna di seluruh Sarawak,” ujarnya.

Sementara itu, berkenaan Program Air Percuma untuk RM5 pertama bil air domestik, setakat Oktober 2022 jumlah subsidi yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak ialah RM84.4 juta.

“Secara amnya, kos pengeluaran air adalah antara RM1.04 sehingga RM1.78 bagi setiap 1,000 liter. Tetapi tarif air yang kita kenakan kepada pengguna domestik adalah antara 44 sen hingga 61 sen sahaja bagi setiap 1,000 liter.

“Tarif air yang dikuatkuasakan, belum lagi disemak semula sejak 30 tahun semenjak 1992,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan