Search
Close this search box.
Chairman SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh

Pilihan Raya Parlimen Padang Serai pada 7 Dis, penamaan 24 Nov

KUALA LUMPUR, 18 Nov: Pilihan Raya bagi Parlimen Padang Serai, Kedah tidak akan diadakan bersekali dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) esok, sebaliknya ditetapkan pada 7 Dis depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan hari ini berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 24 Nov, manakala hari mengundi awal pada 3 Dis.

Beliau berkata SPR menerima Writ Pilihan Raya yang dikembalikan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Padang Serai pada Rabu, berhubung kematian calon Pakatan Harapan (PH) M. Karupaiya pada hari sama.

“Tempoh berkempen ditetapkan 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 Nov hingga pukul 11.59 malam 6 Dis,” katanya.

Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara secara dalam talian dibuka dari 18 Nov dan ditutup pada 22 Nov.

Bagi maksud Hari Penamaan Calon PRU-15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, Abdul Ghani berkata calon-calon yang sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke pusat penamaan calon bagi tujuan cabutan undi, untuk menentukan giliran pada kertas undi.

“Manakala, bakal-bakal calon baharu yang ingin bertanding hendaklah menyerahkan kertas penamaan calon, yang telah lengkap diisi dan disemak oleh pejabat pegawai pengurus oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di pusat penamaan calon yang ditetapkan SPR,” katanya.

Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU).

Abdul Ghani berkata bagi menjalankan proses PRU-15 bahagian pilihan raya Parlimen berkenaan, SPR telah melantik Pegawai Daerah Kulim Datuk  Abdul Bari Abdullah sebagai pegawai pengurus pilihan raya dan dibantu oleh enam penolong pegawai pengurus.

Beliau berkata seramai 2,468 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya berkenaan, manakala sebanyak 46 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 230 tempat mengundi (saluran) dan satu pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi dua tempat mengundi (saluran) akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi sebanyak 47 buah dengan 232 tempat mengundi (saluran),” katanya.

Abdul Ghani berkata PRU-15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen Padang Serai ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.6 juta.

Beliau berkata Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Okt akan digunakan untuk pilihan raya itu, yang mengandungi seramai 133,867 orang pemilih yang terdiri daripada 133,776 pengundi biasa, 76 orang polis dan 15 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

“SPR menyarankan semua yang terlibat dan hadir pada hari mengundi, hari penamaan calon serta semua urusan pilihan raya untuk memakai pelitup separuh muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mensanitasi tangan,” kata Abdul Ghani.

Karupaiya, 69, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Padang Serai dimasukkan ke hospital Hospital Kulim pada Isnin, selepas rebah ketika berkempen akibat serangan jantung dan meninggal dunia pada 2.27 petang Rabu lepas.

Karupaiya sepatutnya menghadapi saingan enam penjuru menentang lima lagi calon iaitu Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk C. Sivaraajh (Barisan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional) dan calon Bebas Sreanandha Rao pada PRU15 esok.

Pada PRU14, Karupaiya menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon PAS Muhamad Sobri Osman dan calon BN Datuk Dr Leong Yong Kong. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan