Search
Close this search box.
Penyokong BN menyertai program konvoi bermotosikal bersama golongan belia mengelilingi pulau Labuan pada hari terakhir kempen sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 esok.Foto Bernama.

Pecutan akhir: Sengit di Semenanjung, GPS dahului di Sarawak

KUALA LUMPUR, 18 Nov: Perebutan bagi 165 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) esok semakin sengit susulan pelbagai ‘keputusan ramalan’ yang keluar sehingga petang ini.

Kurang 24 jam sebelum lebih 20 juta pengundi biasa memangkah calon mereka, tiga gabungan politik utama di sini terus meningkatkan kempen terutamanya menerusi media sosial dan ceramah mega pada saat – saat akhir untuk menarik sokongan.

Di kem Pakatan Harapan (PH), Nga Kor Ming semalam berkongsi keputusan tinjauan firma penyelidikan politik, EMIR Research yang merumuskan gabungan itu akan menang sebanyak  94 kerusi dengan menguasai Johor, Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Fitch Solutions Country Risk and Industry Research pula meramalkan Barisan Nasional (BN) akan menang PRU-15.

Menurut agensi itu, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor memberi petunjuk BN sudah meraih semula sokongan selain mempunyai kelebihan menjadi gabungan paling lama memerintah negara.

Ketua Kluster Bahagian Tadbir Urus dan Integriti, Kolej Undang – Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, ‘hebohan’ oleh gabungan politik yang mereka sedang mendahului lebih kepada propaganda politik.

Ahmad Martadha berkata, dalam soal ini, pengundi perlu melihat ‘siapakah’ di belakang kajian – kajian yang dilakukan itu.

Sebagai contoh katanya, Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff kini secara terbuka menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PH.

“Kita tahu kajian itu akan lebih mirip untuk ketengahkan kekuatan PH dan saya lebih suka melihat keputusan firma yang lebih bebas dan tidak terikat dengan entiti politik,”katanya.

Menurut Ahmad Martadha, beliau secara peribadi meramalkan PH berpeluang menang antara 70 hingga 80 kerusi manakala BN berupaya mendapat 60 hingga 70 kerusi sementara Perikatan Nasional (PN) pula sekitar 35 hingga 40 kerusi.

“Pada pengamatan saya, jangkaan ini agak konsisten dengan beberapa hasil kajian lain yang lebih bebas serta turut menyatakan sedemikian,”katanya.

Seorang peniaga menyusun buahan-buahan di gerainya yang dipasang bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhampiran Jalan Datuk Mohammad Musa di kawasan Parlimen Kota Samarahan. Foto Bernama.

Bagaimana situasi di Sarawak?

Mengulas situasi di Sarawak pula, Ahmad Martadha berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat agak konsisten menerima sokongan pengundi di sana.

Sehubungan itu, beliau meramalkan GPS mampu menambah lima kerusi berbanding 19 yang dimenangi pada PRU-14.

Ditanya mengenai punca peningkatan sokongan kepada empat parti tempatan iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang kini membentuk GPS, beliau berkata, perkara itu disumbangkan oleh tindakan agresif pemimpin gabungan itu menuntut hak rakyat negeri berkenaan.

“Kita lihat perkara ini (tuntutan hak Sarawak) bermula ketika Allahyarham Pehin Sri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menjadi Ketua Menteri dan kemudian diteruskan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang kini merupakan Premier Sarawak,” katanya.

Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed.

Beliau berkata rundingan serta siri perbincangan aktif yang dilakukan membabitkan Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan ketika ini memberi keyakinan kepada rakyat negeri itu bahawa kepentingan mereka dijaga oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, biarpun mengakui GPS berpeluang cerah untuk menang besar di Sarawak, Ahmad Martadha meramalkan GPS akan berdepan saingan sengit di beberapa kerusi majoriti pengundi Cina termasuk Bandar Kuching, Stampin, Sibu dan Lanang.

“Ini kerana sama seperti di Semenanjung Malaysia, sokongan pengundi Cina masih cenderung kepada PH,”katanya.

Sementara itu, ditanya faktor PRU-15 menjadi lebih sengit dan sukar diramalkan, Ahmad Martadha berkata, ini kerana disebabkan oleh kehadiran pengundi muda yang ramai.

“Pengundi berusia lingkungan 18 hingga 29 tahun merupakan blok pengundi yang paling ramai.

“Mereka tidak ada kecenderungan untuk mengundi kerana tidak pernah mengundi selain tidak ada kefahaman isu – isu berkaitan parti, manifesto dan calon – calon yang bertanding malah ada yang masih kurang faham hubung kait pengundian dengan pembentukan kerajaan,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Novel Lyndon meramalkan GPS mampu menang sehingga 26 kerusi sekaligus bakal menjadi ‘king maker’ dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Kata beliau, bacaan berkenaan berdasarkan perkembangan semasa dan kekuatan yang dimiliki oleh GPS sebagai gabungan politik paling stabil di Sarawak selepas Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN) pada tahun lepas.

“Selepas PRN, saya mendapati banyak projek pembangunan dilaksanakan oleh Kerajaan GPS.

“Ini bakal memberikan impak besar kepada para pengundi terutamanya di luar bandar dan juga para pengundi di kawasan campuran untuk kekal menyokong GPS,”katanya.

Pada PRU-14, empat gabungan parti itu menang 19 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan