Search
Close this search box.
Petugas Gabungan Parti Sarawak (GPS) memasang bendera parti itu di Jalan Datuk Mohammad Musa di kawasan Parlimen Kota Samarahan hari ini sempena kempen PRU-15. Foto Bernama.

Kestabilan GPS buka mata gabungan politik lain

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Kestabilan yang dimiliki oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi faktor mereka ‘dikejar’ oleh beberapa gabungan parti politik di Semenanjung Malaysia untuk membentuk kerajaan pusat yang baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, kekuatan politik GPS yang dipimpin oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga membuatkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berminat untuk bekerjasama dengan gabungan itu.

Kata beliau, GPS yang terdiri daripada gabungan empat parti tempatan di Bumi Kenyalang juga telah membuktikan mereka memahami pemikiran rakyat.

“Melihat kepada prestasi GPS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas, mereka telah mempamerkan kematangan dan kepimpinan yang berdaya maju,”kata Sivamurugan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga ‘calon’ Perdana Menteri BN baru – baru ini dilaporkan berkata, pihaknya yakin dapat membentuk kerajaan yang stabil selepas PRU-15 dengan kerjasama GPS berikutan kedua-duanya mempunyai sejarah hubungan yang panjang serta mereka (BN) memahami aspirasi rakyat Sarawak.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli pula berkata, PH hanya boleh bekerjasama dengan GPS dan Gabungan Rakyat Sabah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan akan datang sekiranya ada keperluan.

Di Sarawak, pada PRU-14, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) berjaya menang 19 kerusi dan kali ini, penganalis politik meramalkan gabungan itu bakal mencatatkan prestasi yang lebih baik.

Kepada soalan gabungan manakah yang akan menjadi pilihan GPS, Sivamurugan berpendapat, GPS mementingkan kerjasama dengan kerajaan yang stabil dan seterusnya dapat menyelesaikan pelbagai isu rakyat Sarawak.

“GPS lebih cenderung untuk bekerjasama dengan parti-parti yang memahami mereka.

“Justeru, mereka memilih gabungan yang diyakini dapat menjamin kestabilan,”jelasnya.

Ujar Sivamurugan, GPS dilihat sebagai ‘kingmaker’ yang akan menyumbang kepada pembentukan majoriti pada PRU-15 ini.

“GPS dan GRS dilihat mampu menamatkan ketidaktentuan sejak dua atau tiga tahun lalu.

“Saya yakin Blok Borneo akan dapat mengembalikan perpaduan dalam kalangan parti-parti politik serta akan mengenepikan perbezaan politik dan ideologi untuk terus maju,”katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan