Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Dato Sri Fadillah Yusof dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis perasmian Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau WPC08 di Selangau, hari ini. Foto: UKAS

Lebuhraya Pan Borneo, lembaran baharu dalam sistem perhubungan di Sarawak

SELANGAU, 14 Nov: Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo membuka lembaran baharu dalam pembangunan sistem perhubungan di Sarawak yang akan membuka ruang untuk naik taraf sosioekonomi dalam kalangan rakyat.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Pan Borneo Sarawak amat mustahak bukan sahaja dari aspek pengangkutan, tetapi penting dari aspek hubungan sosial rakyat.

“Jalan (Pan Borneo) memanfaatkan kita dari ekonomi. Untuk kita bertemu, berjalan dan berniaga. Dahulu jalan (di Sarawak) teruk, bak kata Tok Nan (Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem), patah tulang (pengguna),” katanya pada majlis perasmian Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau WPC08 di sini, hari ini.

Perasmiannya disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Hadir sama, Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, kerajaan Sarawak sentiasa prihatin dengan projek-projek yang memanfaatkan rakyat termasuk jalan pesisir dan jambatan bagi menggantikan penggunaan feri.

Abang Johari berkata lagi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) berharap kerajaan Persekutuan yang ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 akan stabil demi pelaksanaan pembangunan dan kemakmuran negara.

“Kita perlu kerajaan stabil dan sokongan daripada semua pihak, kaum dan agama. Inilah objektif GPS ke arah kestabilan Malaysia,” katanya.

Mengenai PRU-15, beliau meminta pengundi di kawasan Parlimen Selangau menyokong calon GPS Edwin Banta bagi mengukuhkan kedudukan GPS dalam Dewan Rakyat.

Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau sepanjang 27 kilometer dan satu persimpangan bertingkat kini dibuka kepada pengguna.

Kementerian Kerja Raya berkata dengan kos pembinaan RM588 juta, seksyen lebuh raya ini akan menjadi pemangkin pembangunan kepada kawasan Selangau, Mukah, Balingian dan Sibu.

Pelaksanaan projek ini juga merupakan bukti komitmen kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian jalan raya sedia ada, secara lebih terancang, sistematik dan efisien. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan