Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Khairy Jamaluddin perlu menumbangkan enam lawannya untuk merealisasikan impian bergelar Ahli Parlimen Sungai Buloh. Foto Faitullah Morni (TVS)

Letupan ‘bom jangka’ di kandang naga, mereka miliki 26 ribu majoriti – KJ

ByFirdaus Ismail

BEBERAPA hari lepas, penulis sempat menghubungi seorang penganalisis politik bagi mendapatkan pandangan tentang kerusi panas di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Antara kawasan yang dipetik termasuklah Parlimen Sungai Buloh yang menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.

Yang menjadikan Sungai Buloh sensasi kali ini ialah kerana kehadiran ‘nama besar’ dari Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin bertanding di situ.

Baca artikel berkaitan:
1. Khairy Jamaluddin terlibat pertembungan tujuh penjuru di Sungai Buloh

2. Saya mahu jadi Perdana Menteri – Khairy Jamaluddin

Dalam kalangan pemerhati politik, mereka melihat figura yang dikenali sebagai KJ ini sebenarnya telah diberi tanggungjawab berat oleh BN untuk memecahkan dominasi Pakatan Harapan (PH) di situ.

Pada satu sisi lagi, andaian nakal yang bertebaran ialah KJ ‘dihantar’ ke Sungai Buloh kerana terdapat pihak tertentu dalam UMNO mahu menamatkan karier politik bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Ada pula yang meramalkan tidak mungkin bagi BN untuk merampas kerusi berkenaan yang dikuasai oleh PH sejak 2008.

Pada 2018, R.Sivarasa mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga berturut – turut dengan majoriti besar lebih 26,000 majoriti sekaligus menggerunkan sesiapa sahaja yang mahu mencuba nasib di situ.

KJ vs PH vs PN vs Pejuang atau vs Ahmad Zahid?

Pasca PRU-14 yang menyaksikan BN- UMNO ditumbangkan, hubungan KJ dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidaklah seperti bagai aur dengan tebing.

Ini kerana KJ diketahui sebagai seorang pemimpin UMNO yang bersifat progresif ekoran kenyataannya yang tidak senada dengan keputusan parti malah pernah mencabar Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO pada pemilihan 2018.

Semalam, pada ceramah di Saujana Utama, KJ secara tidak disangka telah ‘meletupkan’ bom jangka.

Beliau bukan sahaja mahu menang di Sungai Buloh malah bercita – cita untuk memimpin parti dan seterusnya menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.

Khairy Jamaluddin ketika melakukan tinjauan mesra di sebuah pasar di sekitar Taman Saujana Utama semalam. Foto Bernama.

Nah, kenyataan KJ itu serta merta menambah bahang kehangatan bukan sahaja di Sungai Buloh malah seluruh negara sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut memberi reaksi hari ini.

Portal luar negara juga sepantas kilat melaporkan cita – cita KJ itu.

Dari Rembau ke Sungai Buloh, mampukah KJ bergelar Ahli Parlimen untuk kali keempat?

Pada peringkat awal penglibatan KJ dalam politik, beliau lebih dikenali sebagai menantu kepada Perdana Menteri keempat, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Langkah awalnya dalam politik juga pernah menimbulkan persoalan.

Selepas dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO dan menang kerusi Parlimen Rembau pada 2008, Khairy tidak diberikan jawatan kabinet sebaliknya Timbalannya ketika itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Beliau hanya mengecap nikmat bergelar menteri selepas PRU-13 apabila Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak melantiknya sebagai Menteri Belia dan Sukan yang telah melonjakkan popularitinya di kalangan golongan muda.

Ahli Politik lulusan Universiti Oxford ini turut menjadi ‘penganggur’ apabila BN tumbang pada PRU-14.

Namun demikian, beliau tidak memerlukan masa yang lama untuk ‘bangkit’ dan bergelar menteri selepas pemerintahan PH selama 22 bulan berakhir.

Di bawah Perikatan Nasional (PN), Khairy dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selepas Muhyiddin pula ‘digulingkan’ , Khairy terus diberi peluang untuk berkhidmat, kali ini sebagai Menteri Kesihatan oleh Ismail Sabri.

Boleh dikatakan Khairy menonjol ketika mengemudi Kementerian Kesihatan kerana berjaya mengendalikan Program Imunisasi COVID-19 sehingga Malaysia menjadi antara negara terawal di Asia Tenggara yang berjaya mencapai imuniti berkelompok.

Bertarung di kandang naga, apa kesudahan KJ pada 19 November ini ?

Malam tadi, Khairy meletupkan bom jangka menerusi ucapan berapinya sewaktu berceramah di hadapan lebih 1,000 penyokong di Saujana Utama.

Intipati ucapannya itu bukan sahaja memberi amaran kepada enam lawannya di Sungai Buloh malah turut menghantar isyarat kepada orang dalam partinya supaya jangan memperkecilkan kemampuannya.

Meredakan sedikit gempita, Khairy berkata, ketika ini, sekiranya BN menang, sokongannya masih memberi sokongan kepada Ismail Sabri.

“Saya umur 46 tahun boleh tunggu lagi tapi jangan lama sangat la.

“Im ready but saya kena buktikan di Sungai Buloh ini dulu. Kalau orang Sungai Buloh sokong saya, saya boleh maklumkan kepada orang parti, saya datang ke kandang naga, 26 ribu majoriti, saya menang kerusi untuk BN, I want to lead a party and I want to lead country,”kata Khairy.

Ismail Sabri yang menghadiri program di Johor hari ini turut ditanya media mengenai Khairy.

Memetik portal Astro Awani, Ismail Sabri yang kini dalam misi mempertahankan kerusi Parlimen Bera berkata, Khairy layak memegang jawatan berkenaan.

“Dia memang layak untuk jadi Perdana Menteri akan datang kalau kita menang dalam pilihan raya.

“Jika dapat sokongan daripada parti tentu sekali KJ salah seorang yang layak untuk diangkat sebagai calon untuk jadi PM satu hari nanti,”kata Ismail Sabri.

Sementara itu, mengulas mengenai perkara sama, ahli akademik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibur Abdul Muis berkata, beliau melihat kenyataan berani KJ itu diterima baik oleh kelompok atas pagar.

“Ini kerana beliau dilihat sebagai tokoh yang berani mempunyai karakter, paling penting dilihat sebagai future of Malaysia,” katanya.

Mujibur Abdul Muis melihat Khairy Jamaluddin bakal berdepan kesukaran untuk menjadi Perdana Menteri berikutan hiraki yang wujud dalam UMNO.

Bagaimanapun, katanya perkara itu bukanlah mengejutkan kerana Khairy sebelum ini pernah meluahkan hasrat berkenaan malahan bertanding untuk jawatan Presiden UMNO menentang Ahmad Zahid pada 2018.

Begitupun, Mujibur berkata, laluan Khairy untuk menjadi Perdana Menteri tidak semudah diungkapkan kerana ada ‘rintangan yang perlu diharungi.

“Sedikit sukar untuk Khairy memanjat hiraki UMNO yang sifatnya masih konservatif dan ada cita – cita pemimpin tertentu dalam parti yang perlu dicapai,”katanya.

Apakah nasib KJ di Sungai Buloh?

Segala persoalan akan terjawab pada 19 November ini apabila 158,090 pengundi bakal mencelup jari untuk memilih wakil rakyat mereka. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan