Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Hanifah Hajar Taib bersama penduduk Kampung Medong, Dalat pada Majlis Bersama Rakyat, hari ini. Foto Yusuf Shukri (TVS).

Manifesto GPS: Teras mempertahankan hak Sarawak mendapat perhatian pemimpin masyarakat

MUKAH, 7 Nov: Mempertahankan hak Sarawak merupakan salah satu teras manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menarik perhatian Ketua Kaum Kampung Medong Kim Bimbol.

Menurutnya, GPS berperanan penting mempertahan dan menjaga hak dan kepentingan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya sungguh gembira kerana kerajaan GPS akan memperjuangkan hak orang Sarawak yang telah terhakis di samping menjamin kestabilan dan kekuatan politik Sarawak. 

“Malaysia kini berdepan dengan ketidakstabilan politik dan saya pasti GPS akan memainkan peranan yang penting untuk mengembalikan kestabilan yang pernah dirasai oleh semua rakyat Malaysia,” katanya ditemui pada Majlis Bersama Rakyat P.213 Mukah di Kampung Medong, Dalat dekat sini, hari ini.

Pada Ahad malam, Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melancarkan manifesto GPS sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang menggariskan lima tonggak, 25 teras dan 215 komitmen.

Baca berita berkaitan

Manifesto GPS menjamin Sarawak stabil, maju dan makmur

Manifesto: GPS berjaya tuntut 13 perkara hak Sarawak

Bagi seorang pekebun pokok sagu, Hashim Yahya berkata teras ke-14 – Membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan petani, penternak dan nelayan – menunjukkan GPS prihatin kebajikan setiap lapisan masyarakat.

Beliau berharap dapat mengembangkan lagi tanaman sagu yang merupakan tanaman utama bagi penduduk di Dalat dan Mukah.

“Sekarang saya masih lagi menggunakan cara tradisional untuk penanaman sagu kerana tanah saya tidak besar. 

“Pada masa hadapan yang terdekat, saya mahu menggunakan teknik yang lebih moden supaya saya dapat menambahkan hasil dan juga pendapatan saya,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, beberapa penduduk kampung meminta agar liputan Internet ditambah baik – terutama di Kampung Medong Seberang – meskipun terdapat menara telekomunikasi.

Calon GPS bagi kerusi Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib menjelaskan GPS amat menekankan penyediaan liputan Internet yang sempurna di seluruh negeri.

Ini amat penting memandangkan kebanyakan urusan pada masa kini banyak menggunakan Internet termasuk e-pembelajaran dalam kalangan generasi muda. 

“Ini merupakan salah satu daripada lapan tindakan utama yang dilaksanakan ke arah Ekonomi Digital Sarawak,” katanya. 

Kerusi Parlimen P.213 Mukah akan memperlihatkan pertembungan dua penjuru antara Hanifah dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdul Jalil Bujang. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 19 November manakala undi awal pada 15 November. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan