Search
Close this search box.
Menjelang penamaan calon PRU-15, tiga gabungan utama di Semenanjung Malaysia iaitu Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional sedang menyelesaikan isu dalaman yang tercetus. Foto Bernama.

PRU-15 : Panas di Semenanjung, ada yang kena pecat, Sarawak terus stabil

ByFirdaus Ismail

BEBERAPA jam lagi Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon – calonnya yang akan dipertaruhkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Pesaing BN iaitu Perikatan Nasional (PN) juga akan meneruskan sesi pengumuman calon mereka pada malam ini setelah mula memperkenalkan beberapa nama sejak dua tiga hari lepas.

Menjelang pengumuman ‘siapa kekal dan siapa pula yang kena tendang’, pelbagai plot telah tercetus membabitkan BN, PN dan Pakatan Harapan (PH) sejak minggu lepas.

Semuanya berlegar tentang isu calon, perebutan kerusi dan krisis dalaman parti yang memberi isyarat keretakan dalaman sudah tidak mampu disembunyikan lagi.

Berebut kerusi Jerai, pemimpin Amanah kena pecat

Paling awal bergelora sebelum kempen bermula ialah PH di Kedah apabila wujudnya perasaan tidak puas hati melibatkan pembahagian kerusi.

Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi dikatakan ‘tidak gembira’ apabila PH menyerahkan kerusi Parlimen Jerai kepada DAP.

Beliau kemudian didakwa memulakan gerakan untuk memboikot calon PH, iaitu Zulhazmi Shariff yang juga orang kuat DAP Kedah.

Tidak berlengah, Amanah memecat Pharolrazi yang kemudiannya mencetuskan kekalutan dalam kem PH di negeri Jelapang Padi itu.

Penganalisis politik di Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Tawfiq Yaakub.

Penganalisis politik di Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Tawfiq Yaakub berkata, beliau menilai situasi Amanah ‘hilang’ kerusi di Jerai sebagai petanda kurang baik untuk parti serpihan Pas itu.

Katanya, Amanah seperti hilang taring kerana tidak mampu mempertahankan kerusi yang sepatutnya menjadi milik mereka.

“Kepimpinan PH khususnya Amanah perlu memastikan pergelutan politik di Kedah tidak mencalarkan imej mereka.

“Perkara ini boleh memberi kesan terhadap sokongan pada PRU-15,” katanya kepada TVS.

Berhubung strategi PH meletakkan calon Melayu di kerusi Parlimen Jerai, Muhammad Tawfiq berkata, pencalonan Zulhazmi dijangka tidak membawa kesan signifikan kepada sentimen pengundi di situ.

“Ini kerana imej DAP terus wujud dan sukar untuk kikis persepsi negatif terhadap DAP di kawasan Melayu.

“Bagi saya, jika PH benar – benar inginkan kemenangan di kerusi majoriti Melayu, mereka perlu letak calon yang mampu sesuaikan diri dengan agenda politik di kawasan yang ditandingi,” katanya.

Pada PRU-14, BERSATU yang ketika itu sebahagian daripada komponen PH diberikan mandat bertanding di Jerai.

Pertandingan tiga penjuru yang sengit itu akhirnya dimenangi calon Pas, Sabri Azit dengan majoriti 539 undi.

Sabri meraih 22,312 undi berbanding Datuk Seri Jamil Khir Baharom (BN – 21,773) dan Akhramsyah Sanusi Junid (PH – 21,651).

Shahidan berduka, berakhirnya keranuman Harumanis

Apabila disebut tentang negeri paling kecil di Malaysia yakni Perlis, nama penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sukar dipisahkan.

Begitulah eratnya pertalian antara Shahidan dengan Perlis kerana beliau juga pernah menjadi Menteri Besar di Indera Kayangan.

Hantaran di Facebooknya malam tadi bagaimanapun meluahkan gundah yang bersarang dalam benak fikiran Menteri Wilayah Persekutuan itu.

“Malam ini malam kesedihan yang teramat sangat.Semua bilik Gerakan BN Parlimen Arau telah ditutup dan bendera telah diturunkan.Kali pertama dalam sejarah,” tulis Shahidan.

Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dikatakan akan digugurkan sebagai calon BN di kerusi Parlimen Arau. Foto Bernama.

Shahidan sebelum ini dilihat sebagai antara pemimpin parti tidak sehaluan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Shahidan sering memberi komentar yang ‘membelah’ pendirian parti terutamanya berhubung kerjasama dengan Bersatu yang ditafsirkan ahli UMNO yang setia kepada kem Ahmad Zahid sebagai tidak senada dengan dasar parti.

Justeru apabila namanya dikatakan bakal digugurkan, perkara itu sudah dapat diduga pemerhati politik sejak awal.

Dr Muhamamd Tawfiq berkata, ini menunjukkan sentimen UMNO PWTC (diterajui Ahmad Zahid dan pemimpin UMNO yang tiada jawatan kabinet) dan UMNO Putrajaya masih menebal.

Kata beliau, sekiranya pasti UMNO menggugurkan Shahidan di kerusi tradisinya, perkara ini bakal membawa ‘masalah’ kepada kelangsungan parti itu di Perlis.

“Ini kerana Shahidan mempunyai sokongan padu di kawasan beliau malah Perlis merupakan kubu kuat UMNO.

“Pemimpin UMNO jangan mensia-siakan sokongan diterima hanya kerana ingin mengenepikan lawan politik,” katanya.

Katanya, masih ada masa untuk kepimpinan UMNO menyelesaikan segera isu calon.

“Jangan jadi senjata makan tuan kerana parti akan berhadapan masalah besar,” katanya.

Pada 2018, Shahidan ampuh menahan gelombang tsunami politik apabila menang kerusi Parlimen Arau dengan agak selesa iaitu menerusi undi majoriti 4,856.

Beliau meraih 16,547 undi sekaligus menewaskan Dato Dr Abdul Rahman Daud (PH – 11,691) dan Hashim Jasin (Pas – 11,362 undi).

Sep Kito Pecoh di Ketereh, apa nasib Annuar Musa?

Seorang lagi nama besar UMNO di Kelantan yang sedang menghitung nasib sama ada akan kekal sebagai calon ialah Tan Sri Annuar Musa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia ini dikatakan semakin hampir untuk tercicir mewakili BN di kerusi Parlimen Ketereh.

Pagi tadi menerusi sidang media di Kota Bharu, Annuar mengesahkan beliau tidak menerima surat jemputan untuk hadir ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) untuk majlis pengumuman calon.

Perkhabaran baharu di Ketereh ketika ini menyaksikan nama Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin muncul sebagai calon seperti didedahkan Annuar sebentar tadi.

Tan Sri Annuar Musa ketika menghadiri satu program di Kota Bharu pada Ogos lepas. Foto Firdaus Ismail (TVS).

Berkenaan isu Annuar Musa, Dr Muhammad Tawfiq berkata, pemimpin itu menjadi satu lagi contoh bagaimana kepimpinan parti bertindak terhadap suara tentangan dalaman.

“Tidak mengejutkan jika Annuar digugurkan kerana beliau dilihat tidak senada dengan kepimpinan parti,” katanya.

Perkembangan ini katanya menunjukkan parti politik di Malaysia masih belum matang apabila kepimpinan dilihat sukar menerima kritikan yang serius dan ini berlaku dalam UMNO, PKR dan DAP.

Di Keterah pada 2018, Annuar menang kerusi itu dengan majoriti 4,626 undi menewaskan wakil Pas dan juga PH.

PN hilang taring di Melaka

PN di Melaka turut menerima tamparan dalaman apabila Naib Presidennya, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen mengumumkan keluar parti kelmarin.

Tanpa berselindung, Mohd. Rafiq mengakui tindakan itu kerana kecewa PN tidak menamakan beliau sebagai calon di kerusi Parlimen Tangga Batu.

Baca di sini > > > PRU-15 : Naib Presiden Bersatu umum keluar parti 

Begitupun BERSATU dilihat seolah – olah ‘tidak kisah’ dengan pemergian Mohd. Rafiq.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka, Dr Mohd. Yadzil Yaakop menegaskan, tindakan Mohd. Rafiq tidak menjejaskan persediaan mereka menghadapi PRU-15.

Di peringkat pusat, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Datuk Seri Rina Harun selaku calon PN bagi kerusi Parlimen Sepang.

Ini sekaligus menyaksikan Rina tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa yang dimenanginya pada PRU-14.

Di bawah panji PH pada 2018, Rina merampas kerusi berkenaan daripada BN apabila mendapat 23,840 undi berbanding Datuk Seri Johari Ghani (BN – 19,701) dan wakil Pas, Mohamad Noor Mohamad yang sekadar meraih 6,584 undi.

Bumi Kenyalang kekal stabil, GPS bakal umum calon

Terbang merentasi Laut China Selatan ke Sarawak, situasi tenang kekal, kalau ada gelora sekalipun hanyalah serangan politik biasa ketika musim mengundi.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menang 19 kerusi pada 2018 dijangka akan mengumumkan kesemua 31 calon mereka pada 3 November ini.

Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, akan ada calon baharu yang terdiri daripada calon muda dan wanita selain mengekalkan penyandang yang berpengalaman.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak menolak kemungkinan bahawa golongan wanita juga berpeluang untuk memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. Foto Akma Salleh (TVS).

Abang Johari turut mengesahkan pemimpin berpengalaman, Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memohon untuk tidak bertanding pada PRU-15.

Baca artikel di sini:

  1. 1. Tolak DAP kerana mereka punya agenda tersendiri – Dr. Sim 
  2. 2. Saya belum beri keputusan permintaan Wan Junaidi, kata Abang Johari 
  3. 3. PKR tiada ketua yang baik di Sarawak – Abdul Karim

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang dikenali sebagai pemimpin bersuara lantang mempertahankan hak Sarawak sempat membuat usikan nakal kepada lawan mereka di sini iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Kata Abdul Karim, PKR tidak mempunyai pemimpin berwibawa di Sarawak malah mungkin akan mencalonkan mereka yang pernah kalah sebelum ini.

Abdul Karim turut berkomentar yang PBM sudah menjadi parti kartun gara – gara krisis yang tercetus membabitkan Datuk Larry Sng Wei Shien dan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Mengulas mengenai kestabilan di Sarawak, Dr Mohammad Tawfiq berkata, wujud kematangan politik di Bumi Kenyalang yang diterajui oleh GPS.

“Pada waktu sama, ini menandakan GPS sudah bersedia untuk menjadi king maker kepada pembentukan Kerajaan Persekutuan.

“Saya lihat gabungan politik di Semenanjung Malaysia perlu pastikan mereka mendapat sokongan GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi melancarkan pembentukan kerajaan selepas PRU-15,” katanya.

Katanya mereka tidak boleh ketepikan GPS dan GRS kerana semestinya kerajaan yang kuat dan stabil dapat direalisasikan menerusi kerjasama rakan – rakan dari Borneo.

Berhubung isu dalaman PBM pula, beliau berkata, perkara itu terjadi kerana pemimpin sudah lari daripada matlamat asal untuk memperjuangkan kehidupan rakyat.

“Maka mereka berebut jawatan untuk pastikan ada platform bertanding pada PRU-15.

“Pengundi dapat menilai yang inilah pemimpin – pemimpin yang tidak seharusnya dipilih kerana merugikan masa depan rakyat dan negara,” katanya.

Berbalik kepada GPS, gabungan empat parti tempatan iaitu PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) ketika ini sedang mengukuhkan gerak kerja untuk mencatatkan kemenangan besar.

Antara yang menarik perhatian penulis ialah perkhabaran dari Sibu apabila dikatakan angin perubahan sedang bertiup di kerusi Sibu dan Lanang yang sebelum ini diketahui sebagai kubu DAP.

Sengaja penulis menduga sumber yang memberitahu perkara itu dengan mengatakan DAP ampuh di sana.

Ini jawapan diterima.

“Belum pasti lagi bro DAP boleh kekal di Sibu kerana calon yang dikaitkan akan mewakili GPS diterima baik pengundi di sini,” katanya.

Sekiranya benar ‘bacaan’ sumber penulis, tidak mustahil penyandang kerusi di Sibu bakal gigit jari. -TVS

 

 

Disclaimer: The views and opinions expressed in this article are those of the author(s) and do not necessarily reflect the position of TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan