Search
Close this search box.
Mayuh macham industri dikemansangka di Sarawak.

Dari kampung nelayan ke bandar industri

BySuara Sarawak

BINTULU, 1 Nov: Daripada sebuah perkampungan nelayan yang kecil satu ketika dahulu, Bintulu kini berubah wajah dan sedang mengorak ke era gelombang pembangunan kedua kepada hab perindustrian, perniagaan dan pelancongan yang menawarkan pelbagai punca ekonomi dan peluang industri.

Transformasi Bintulu ini susulan daripada aktiviti penemuan petroleum dan gas, Bintulu bertukar wajah kepada sebuah bandar perindustrian yang dikenali di Malaysia.

Hingga kini, Bintulu mengalami pertumbuhan perindustrian yang begitu cepat dan menjadi pusat pertumbuhan perindustrian yang pesat di negeri Sarawak. Bagi merancakkan lagi ekonomi Sarawak, pelbagai projek mega sedang giat dilaksanakan di bahagian Bintulu.

Antaranya, pelaksanaan projek pembinaan loji metanol pertama Sarawak di Tanjung Kidurong yang dijangka mula beroperasi pada awal 2024. Kilang milik Petchem Sarawak itu akan menghasilkan metanol yang boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai bahan derivatif.

Sarawak Petchem Sdn Bhd diperbadankan pada 7 Julai 2017 bagi melaksanakan pembangunan dan operasi methanol Sarawak di Bintulu serta menghasilkan 5,000 metrik tan sehari metanol menggunakan gas asli.

Apabila siap kelak, ia akan menjadi loji pertama di Sarawak mengeluarkan metanol dengan kapasiti tahunan sebanyak 1.75 juta tan metrik.

Di samping itu, Petronas juga membina kemudahan penyaluran gas kedua di Tanjung Kidurong untuk membekalkan gas sehingga 1,200 MMscfd (juta kaki padu standard sehari) ke loji metanol dan juga ke stesen janakuasa gas SEB.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat Sarawak di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, baru-baru ini berkata, kilang kedua mungkin akan menyusul jika rundingan antara Petchem dengan kontraktor berjaya.

Beliau dipetik sebagai berkata Sarawak tidak berpuas hati dengan hanya mengeksport bahan mentah, dan selalunya memberi banyak kerugian kerana proses menambah nilai kepada sumber negeri sentiasa dilakukan di tempat lain di luar.

Usaha Kerajaan Sarawak terus dipergiatkan untuk menghasilkan modal insan kelas pertama dan berkemahiran tinggi, mengguna pakai sumber dan infrastruktur sedia ada, merangka strategi ekonomi mapan bagi menjana potensi ekonomi dan pendapatan per kapita rakyat BIntulu yang lebih tinggi.

Penambahbaikan infrastruktur bukan sahaja meningkatkan taraf sosioekonomi dan sara hidup rakyat, tetapi turut membantu menarik pelaburan dari luar sekali gus membawa lebih banyak keuntungan masuk ke negeri ini di Bintulu serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Pelaksanaan projek pembinaan Hab Inovasi dan Teknologi Perubatan Sarawak (SMITH) di Tanjung Kidurong, Bintulu merupakan satu lagi detik bersejarah bagi industri pembuatan perubatan dan farmaseutikal Sarawak.

Pembinaannya akan membolehkan negara menghasilkan lebih banyak produk kesihatan dan perubatan, sekali gus mengurangkan kebergantungannya kepada peralatan dan ubat-ubatan yang diimport memandangkan Sarawak, termasuk Sabah dan Kalimantan, masih belum mempunyai industri farmaseutikal yang maju.

Pembinaan SMITH adalah tepat pada masanya kerana ia berfungsi sebagai hab penting sebagai pembekal ubat-ubatan pada masa hadapan, khususnya di Malaysia Timur.

Sementara itu, Kerajaan Sarawak menyedari kepentingan kritikal untuk menubuh dan membangunkan hab ini bagi meletakkan SMITH sebagai pusat tumpuan untuk pembangunan industri perubatan dan farmaseutikal di rantau ini dan seluruh Sarawak.

Di samping itu, SMITH akan memperluaskan latihan kejururawatan untuk melahirkan lebih ramai jururawat terlatih di negeri ini dengan keupayaan yang setanding dengan mereka di negara maju.

Kerajaan Sarawak juga mengenal pasti tapak seluas 1,068 ekar atau 432.2 hektar di Tanjung Kidurong Bintulu untuk pembangunan hab petrokimia. Lokasi strategik tapak yang terletak 36 kilometer dari Taman Perindustrian Samalaju ini diaanggap sesuai sebagai untuk pembangunan hab.

Ini berikutan aksesnya yang menjadi tumpuan kepada aktiviti lapangan gas luar pesisir di samping berdekatan dengan saluran paip gas sedia ada termasuk terdapat aktiviti industri hiliran ammonia, gas cecair asli dan gas kepada cecair selain industri berat berdekatan Samalaju serta kedapatan pelabuhan laut dalam dan rangkaian jalan raya antara mod di Bintulu.

Pembangunan hab petrokimia ini dijangka mewujudkan 74,000 pekerjaan baharu dan berpotensi menjana tambahan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara RM16 billion dan RM20 bilion setahun kepada Sarawak.

Ini sekali gus, akan membolehkan Sarawak menambah nilai sumber aslinya sejajar dengan aspirasi negeri mengukuhkan aktiviti hiliran dalam sektor minyak dan gas selain mencapai sasaran negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Projek Jambatan BintuluJepak yang kini sedang berjalan dengan lancar merancakkan pertumbuhan sosioekonomi sepanjang kawasan Bintulu khususnya Jepak dengan peningkatan perhubungan dan menyediakan akses mudah serta selamat dari bandar utama ke kawasan luar bandar di negeri ini.

Sehingga Julai lalu, dua tiang menara atau puing utama jambatan hampir siap sepenuhnya sementara empat lorong dua hala menyeberang Batang Kemena lengkap dengan jejambat ke persimpangan lalu lintas Jalan Tun Ahmad ZaidiJalan Tun Razak-Jalan Abang Galau sedang rancak dalam fasa pembinaan seterusnya. Jambatan Bintulu-Jepak antara projek diberi pengawasan oleh Coastal Second Trunk Road Unit dengan nilai kontrak RM466,679,497 dan dilaksanakan PPES WorksCCCC JV Sdn Bhd.

Gimik pelancaran projek tersebut disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa sambutan Hari Sarawak di Bintulu pada 22 Julai 2019.

Projek ini bermula 3 April 2019 dan majlis pelancarannya pada 22 Julai 2019 dengan tempoh masa untuk menyiapkannya adalah 48 bulan dan dijangka siap pada penghujung 2023. Namun, disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19, pelaksanaan projek pembinaannya mengalami kelewatan.

Apabila siap kelak, jarak laluan menghubungkan bandar Bintulu ke Lapangan Terbang Bintulu akan lebih dekat daripada 25 kilometer (km) kepada 10km, sekali gus bakal membawa pembangunan pesat ke kawasan.

Selain itu, ia akan memenuhi populasi setempat dianggarkan berjumlah 150,000 orang – jambatan itu akan menjadi pemangkin kepada pelaburan di Tanjung Kidurong dan Taman Perindustrian Samalaju serta menambah baik sosioekonomi penduduk di Bintulu.

Jambatan Bintulu-Jepak yang dibangunkan Kerajaan Sarawak menyeberang Sungai Kemena dan dijangka siap pada Disember 2023 sebagai jambatan kabel kekal, bukan sahaja akan menjadi tarikan kepada bandar Bintulu bahkan membawa pembangunan gelombang kedua untuk Bintulu.

Untuk rekod, segala kos pembinaan projek ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak termasuk dua lagi projek jambatan (Rambungan dan Batang Lupar) dibatalkan oleh Kerajaan PH yang terdahulu.

Selain itu, kawasan Jepak juga dimajukan sebagai pusat pentadbiran, perumahan rakyat dan komersial baharu seperti Petra Jaya di Kuching dimajukan sehingga menjadi kawasan yang pesat membangun.

Pembangunan di kedua-dua belah tebing Batang Kemena harus seimbang dan Jambatan Kuala Kemena telah dibangunkan untuk memudahkan usaha membangunkan kawasan Jepak Pembinaan Kompleks Pejabat Residen Bintulu yang baharu akan menjadi teras pembangunan kawasan Jepak juga sudah bermula.

Skim perumahan rakyat yang bakal dibangunkan di Jepak sejumlah 7,000 lot akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sebagai usaha untuk menyediakan rumah mampu milik untuk penduduk di Bintulu.

Seperti skim penempatan di Kemuyang, Sibu dan Sungai Bedaun di Santubong, Kuching Kerajaan akan menyediakan prasarana yang secukupnya termasuk jalan raya, bekalan letrik dan bekalan air.

Penempatan dan perbandaran memberi makna lagi kepada kesinambungan pembangunan Koridor Tenaga Boleh Perbahauri Sarawak (SCORE) di wilayah tengah menghala utara Sarawak dalam kawasan seluas 70,000 kilometer persegi.

Program pembangunan seperti ini, bagaimanapun, memerlukan perancangan yang teliti dan sebuah kerajaan yang mampu memberi fokus kepada pembangunan untuk memberi manfaat kepada rakyat.

Dalam konteks ini, Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak akan terus komited untuk membangunkan Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030 sejajar dengan matlamat yang disasarkan pemimpin di negeri ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan