Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bukan mudah untuk mengambil hati golongan belia dengan menggunakan 'tiket' politik dalam mendepani PRU-15 ini. Foto hiasan: Bernama.

PRU-15: Bukan senang ambil hati golongan belia – Saravanan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 25 Okt : Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan mengakui bukan senang untuk mengambil hati golongan belia dengan menggunakan ‘tiket’ politik dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Beliau berkata belia kini khususnya yang berumur 18 tahun ke atas amat matang dan mampu membezakan baik buruk sesuatu perkara, termasuk dalam memilih calon berkaliber untuk memenangi PRU-15.

“Golongan belia boleh menilai yang mana betul dan salah, malah mereka boleh melihat sendiri apa yang berlaku pada PRU-14 dan saya percaya mereka akan mengambil keputusan terbaik (untuk mengundi) dan membantu untuk menstabilkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang membincangkan tajuk ‘Pesta Cahaya Dalam Pilihan Raya’ pada Isnin.

Ditanya mengenai cabaran yang bakal dihadapi ketika gelombang PRU-15, Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia dan Ahli Parlimen Tapah berkata media sosial merupakan antara rintangan terbesar yang perlu ditempuhi memandangkan pengaruh alam maya amat ketara ketika ini.

“Ketika PRU-14, pengaruh media sosial lebih kepada mesej tular melalui WhatsApp, dan buat masa ini kita lihat ia lebih kepada TikTok. (Biarpun) media sosial menjadi cabaran utama masa PRU15, (namun) ia juga antara medium yang memainkan peranan penting kelak,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRU akan diadakan pada 19 Nov dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 5 Nov, manakala pengundian awal pada 15 Nov.

Sementara itu Saravanan berkata kerajaan terpaksa membubarkan Parlimen dan mendepani PRU-15 kerana tiada kestabilan politik.

“Walaupun kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif dalam usaha memulihkan ekonomi pasca COVID-19, namun kekangan yang kita lihat adalah tiada kestabilan politik.

“Kerana tiada kestabilan politik, ia secara langsung mewujudkan ketidakselesaan dalam kalangan pelabur. Cuma, rakyat kena bantu kami untuk kekalkan kestabilan politik. Jangan sesekali kita ulang sejarah dalam satu penggal kita tukar (perdana menteri) beberapa kali,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan