Search
Close this search box.
Ddadah jenis heroin yang telah dirampas dari suami isteri berkenaan. Foto: TVS

Suami isteri sewa rumah kampung, jadikan makmal proses dadah

BALIK PULAU, 14 Okt : Taktik sindiket memproses dadah menyewa sebuah rumah kampung di kawasan terpencil untuk dijadikan makmal terbongkar selepas polis melakukan serbuan di Kampung Bukit, Bayan Lepas di sini, Selasa lalu.

Makmal dadah berkenaan antara lokasi dua serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan BSJN IPD Barat Daya yang bermula pukul 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Soffian Santong berkata, serbuan bermula dengan penahanan lelaki berusia 43 tahun dan isterinya warga asing berusia 30 tahun di tepi jalan di Gelugor.

Ujarnya, berpandukan maklumat suspek berkenaan, polis melakukan serbuan kedua pada pukul 10.30 malam di rumah kampung itu yang membawa kepada penemuan makmal memproses dadah jenis heroin.

“Hasil serbuan, polis berjaya merampas dadah dan peralatan memproses dadah yang dianggarkan bernilai RM81,330.

“Antara yang dirampas termasuk dadah jenis heroin dan pil yaba serta serbuk kafein selain dua ketuhar dan bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan dadah heroin,” katanya pada sidang media di IPD Barat Daya di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal.

Sementara itu, Soffian berkata, siasatan lanjut mendapati rumah kampung tersebut disewa untuk dijadikan makmal dadah oleh sindiket terbabit sejak kira-kira 10 bulan lalu.

“Isteri suspek berperanan sebagai pembantu kepada suspek lelaki yang bekerja sebagai tukang sembelih ayam itu dalam menghasilkan dadah.

“Polis menjalankan siasatan bagaimana mereka belajar cara membuat dadah selain mengenal pasti pembekal bahan asas termasuk bahan kimia untuk menghasilkan dadah,” ujarnya lagi.

Kata Soffian, suspek lelaki yang positif dadah dan isterinya direman selama seminggu sehingga 17 Oktober depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan