Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Michael Tiang (lima kiri) pada majlis perasmian Jerayawara Perumahan dan Hartanah SHEDA 2022 di Sibu pada Khamis.

GPS sentiasa laksana dasar bermanfaat untuk rakyat

SIBU, 14 Okt: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat, kata Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Michael Tiang Ming Tee.

Menurutnya, Sarawak amat bertuah kerana mempunyai barisan pemimpin yang berwawasan dan mementingkan kesejahteraan rakyat sejak dahulu dan sekarang diterajui Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau memberi contoh dasar kerajaan Sarawak yang mementingkan rakyat agar mampu memiliki rumah sendiri.

“Beliau (Abang Johari) sudah berkali-kali menyatakan hasrat dan harapannya agar semua penduduk di Sarawak mampu membeli rumah,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Jerayawara Perumahan dan Hartanah Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (SHEDA) 2022 di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengerusi SHEDA Cawangan Sibu Cecil Lau, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting Ing Horh dan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu Sempurai Petrus Ngelai.

Beliau menegaskan kerajaan Sarawak komited membantu keluarga berpendapatan rendah dengan menyasarkan untuk membina 2,391 unit rumah mampu milik melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan (HDC) di bawah ‘Rumah Spektra Permata’ di bawah Rancangan Malaysia ke -12 (RMK12) (2021-2025) dengan harga jualan antara RM90,000 hingga RM160,000.

“Bagi tujuan itu, kerajaan Sarawak akan mengukuhkan pembiayaan bank melalui Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd dengan memberi modal sebagai pinjaman kepada pembeli rumah. Setakat ini sebanyak 3,506 unit rumah telah dibina, melebihi sasaran,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu juga berkata sehingga 30 September, 566 permohonan Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) diterima dan 400 diluluskan melibatkan 68 peratus untuk B40 manakala 32 peratus untuk M40.

“Menerusi skim yang diuruskan Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd, anak syarikat HDC, kerajaan Sarawak menyediakan deposit rumah maksimum RM10,000 atau 10 peratus daripada nilai rumah kepada penerima yang layak.

“Deposit yang diberikan adalah untuk penerima, tiada bayaran balik diperlukan.

“Kami faham paling sukar bagi seorang belia atau keluarga muda untuk memiliki rumah pertama mereka adalah untuk mengeluarkan deposit perumahan atau bayaran muka untuk membeli rumah.

“Oleh itu, kerajaan Sarawak memperkenalkan HDAS bagi membolehkan belia dan pembeli rumah kali pertama memiliki rumah.

“Inisiatif ini juga akan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan seperti pemaju perumahan, pembekal perkakasan dan banyak lagi,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan