Search
Close this search box.
Prof Madya Dr Novel Lyndon.

Bajet 2023: Tambahan peruntukan kepada Sarawak penting untuk iktiraf MA63

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 7 Okt : Saranan pemberian peruntukan yang lebih tinggi kepada Sarawak dalam Bajet 2023 berbanding tahun – tahun sebelumnya penting untuk mengiktiraf Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas pembentukan Malaysia.

Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Novel Lyndon berkata, ini kerana Sarawak bukan sebagai negeri sebaliknya merupakan wilayah yang membentuk Malaysia.

“Agihan peruntukan perlu diterjemahkan dalam semangat rakan yang membentuk negara.

“Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan perlu juga mengambil kira peranan Kerajaan Sarawak yang ditadbir Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang merupakan king maker kepada gabungan kerajaan yang memerintah hari ini,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.

Bajet 2023 dijangka akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pukul 4 petang ini.

Sebelum ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau berharap ‘ada berita baik’ untuk Sarawak menerusi pembentangan berkenaan.

Beberapa pemimpin tempatan turut menyuarakan agar Sarawak menerima peruntukan yang lebih besar dengan mengambil kira faktor geografi Bumi Kenyalang yang luas selain masih banyak projek pembangunan dan kesejahteraan rakyat perlu dilaksanakan.

Sementara itu Novel berkata, peruntukan tinggi yang harus diberikan ialah kerana Sarawak merupakan negeri yang paling stabil dalam aspek geopolitik di Malaysia.

“Kestabilan ini perlu diterjemahkan dalam bentuk pembangunan ekonomi yang lestari kepada penduduk Sarawak dan seterusnya menggalakkan lebih banyak aliran masuk pelaburan asing,” katanya.

Kepada soalan mengenai Sarawak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, Novel berkata, peruntukan besar daripada Kerajaan Persekutuan tetap diperlukan supaya selari dengan model pembangunan ekonomi Sarawak iaitu dari pinggiran ke kota. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan