Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kaban Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong.Foto TVS.

Hanya ada 16 pos kawalan sempadan di Sarawak sedangkan Indonesia sudah bina 54 – Wilson Ugak

ByMadeline Dugat

BINTULU, 14 Sept : Kerajaan Persekutuan digesa supaya mempercepatkan pembinaan pos kawalan sempadan tambahan di Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia bagi memastikan keselamatan negara terjamin, kata Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Beliau berkata, perkara berkenaan perlu diberi perhatian kerana perkembangan di negara jiran itu terutamanya selepas keputusan Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan.

Katanya, faktor keluasan sempadan Sarawak sepanjang 700 kilometer (km) juga perlu diambil kira.

“Mereka (Indonesia) sudah mempunyai 54 pos kawalan sempadan namun kita hanya memiliki 16 sahaja.

“Pos kawalan ini sangat penting sebagai contoh di kawasan Parlimen saya, sempadan lurus mencapai 400 km dari Long Nawan hingga ke Kapit,”katanya kepada TVS di sini hari ini.

Wilson Ugak berkata, pada 21 September ini, beliau dan beberapa Ahli Parlimen Sarawak akan membincangkan pekara ini bersama Kerajaan Persekutuan.

“Sudah menjadi tanggungjawab mereka (Kerajaan Pusat) untuk bina pos kawalan sempadan dengan kadar segera kerana di Indonesia berhampiran Long Nawang sudah ada pos kawalan yang lengkap serta pasukan tentera namun kita masih belum mempunyai kemudahan itu,”katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau berharap agar kementerian yang berkenaan termasuk Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapat peruntukan untuk membina pos berkenaan menerusi Belanjawan 2023.

“Ini juga bagi mengelakkan kejadian pencerobohan seperti yang berlaku di Sabah sebelum ini selain risau jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah di kawasan tertentu seperti Ulu Baleh,”katanya.

Mengulas lanjut, Wilson Ugak berkata, sekiranya pos kawalan sempadan Malaysia di Tapak Megah tidak melalui proses naik taraf dengan segera, pelbagai masalah mungkin berlaku kelak.

“Baru – baru ini saya menghadiri satu taklimat yang mana menurut maklumat disampaikan, sekitar 40 juta rakyat Indonesia akan mendiami ibu kota baharu mereka dan sudah tentu kawasan di sebelah mereka akan padat,”katanya.

Pada masa sama, Wilson berkata, beliau berterima kasih di atas keprihatinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun  Openg terhadap isu berkenaan apabila sedang berusaha untuk mempercepatkan pembinaan pos kawalan dan menubuhkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) baharu. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan