Search
Close this search box.
Sarawak bersedia untuk menjadi pengeluar hidrogen komersial menjelang 2027 sekali gus merealisasikan visi untuk menjadikan negeri ini ke arah ekonomi hidrogen. Foto: TVS

Sarawak sedia jadi pengeluar hidrogen menjelang 2027 – Abang Jo

KUCHING, 8 Sept:  Sarawak bersedia untuk menjadi pengeluar hidrogen komersial menjelang 2027 sekali gus merealisasikan visi untuk menjadikan negeri ini ke arah ekonomi hidrogen.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata untuk mencapai visi itu Sarawak sedang mengambil langkah-langkah yang perlu dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membangunkan ekonomi hidrogen bagi negeri ini.

Beliau berkata ini termasuk pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Sarawak Energy, SEDC Energy, Samsung Engineering, Lotte Chemical, serta Posco Holdings di Seoul, Korea Selatan, hari ini.

MOU itu bertujuan mengkaji bekalan tenaga hidro boleh diperbaharui untuk projek hidrogen hijau dan ammonia di Sarawak yang digelar Projek H2biscus.

Dalam ucapannya semasa menandatangani MOU itu, Abang Johari berterima kasih kepada Samsung Engineering, Posco Holdings dan Lotte Chemical yang disifatkannya sebagai ‘gergasi’ dari Korea Selatan atas pelaburan mereka di Sarawak.

Beliau berkata projek ini bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua negara tetapi menjadi projek utama bagi seluruh rantau ini.

“Saya juga tidak sabar untuk melihat kerjasama ini terus berkembang lagi, dengan jangkaan untuk menyaksikan pengeluaran hidrogen hijau berskala besar pertama Sarawak yang sedia untuk dieksport, Insya-Allah menjelang 2027,” katanya.

Kenyataan media mengenai lawatan itu disediakan kepada media tempatan, semalam.

Abang Johari dan anggota delegasinya berlepas ke ibu negara Korea pada Ahad dengan tujuan antara lain, meningkatkan perkongsian dengan industri Korea dalam bidang penjanaan tenaga hijau dan inovasi.

Sementara itu, Abang Johari berkata beliau berbangga kerana dua syarikat terbesar Sarawak; Sarawak Energy dan SEDC Energy yang memainkan peranan penting membangunkan ekonomi hidrogen Sarawak.

“Pada masa ini, Sarawak Energy sudah pun menghasilkan hidrogen hijau di stesen mengisi minyak hidrogen bersepadu mereka di Kuching – saya percaya ia adalah yang pertama di Asia Tenggara.

“SEDC Energy sebaliknya, juga akan mula mengeluarkan hidrogen hijau di stesen pelbagai bahan api PETROS menjelang akhir tahun ini,” tambahnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan