Search
Close this search box.
Pelabuhan POIC Lahad Datu mampu menjadi salah satu hab ‘trans- shipment’ yang utama bagi sektor perkapalan di rantau ini, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. Foto: Jabatan Ketua Menteri (JKM)

Pelabuhan POIC Lahad Datu berpotensi menjadi Hab ‘Trans-Shipment’ sektor perkapalan

LAHAD DATU, 5 Sept: Pelabuhan POIC Lahad Datu mampu menjadi salah satu hab ‘trans- shipment’ yang utama bagi sektor perkapalan di rantau ini, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Menurutnya, kedudukan strategik Pelabuhan POIC di pertengahan Asia Timur mempunyai kelebihan besar dalam aspek pengendalian kargo pukal apabila pemprosesan boleh dilakukan sebelum dieksport ke negara maju.

“Sudah pasti infrastruktur baharu itu akan menjana pertumbuhan sosio ekonomi tempatan termasuk peluang pekerjaan dan juga akan membantu menjayakan lagi sektor perindustrian di Sabah”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Rasmi Pelabuhan POIC Lahad Datu dan Pengoperasian Fasiliti Tangki Pukal POIC di Yad Terminal Kontena POIC Lahad Datu, di sini hari ini.

Menurutnya, sebagai hab logistik perkapalan global dengan memanfaatkan laluan perkapalan utama Selat Lombok-Makassar yang melalui Lahad Datu, Pelabuhan POIC boleh berkembang lebih maju dan berdaya saing pada masa hadapan.

Hajiji berkata, pelabuhan yang terdapat di POIC mempunyai kedalaman semula jadi sehingga 20 meter, setanding dengan pelabuhan terbaik di dunia seperti Pelabuhan Rotterdam.

Sementara itu beliau berkata, Kerajaan Negeri Sabah bersetuju melaksanakan lima inisiatif baharu untuk memacu perkembangan serta meningkatkan keupayaan POIC, Lahad Datu dalam merancakkan lagi aktiviti perindustrian di Wilayah Pantai Timur Sabah.

Lima inisiatif itu ialah pewujudan zon bebas di Taman Perindustrian Lahad Datu, mewujudkan pusat pengumpulan biojisim satelit, mewujudkan lapangan terbang antarabangsa di Lahad Datu, menubuhkan akademi maritim dan pembinaan pusat rawatan kesihatan di kawasan tanah komersil POIC.

“Pelaksanaan inisiatif itu kelak akan memberi manfaat besar kepada rakyat, selain membantu merancakkan ekonomi di wilayah pantai timur Sabah,”

Pada majlis itu telah berlangsung acara menandatangani perjanjian pelaburan antara POIC Sabah Sdn Bhd dan Gamalux Oils Sdn Bhd serta antara POIC Sabah Sdn Bhd dan Bumi Teraju Sdn Bhd.

Turut berlangsung acara menandatangani perjanjian penyewaan fasiliti tangki pukal antara POIC Sabah Sdn Bhd dan KL-Kepong (Sabah) Sdn Bhd. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan