Search
Close this search box.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Taekwondo The Premier of Sarawak Borneo Cup 2022 di sini hari ini. Foto TVS.

Penganjur SUKMA ‘bimbang’ atlet Sarawak sapu pingat taekwondo, sindir Abdul Karim

ByAdlina Rahman

KUCHING, 20 Ogos : Sarawak berpendapat acara taekwondo seharusnya dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XX Majlis Sukan Negara (MSN) 2022 pada bulan depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana sukan itu mempunyai ramai peminat.

Katanya, keputusan penganjur tidak mempertandingkan sukan itu sejak dari awal masih menjadi persoalan.

“Inilah masalah jawatankuasa penganjur SUKMA tahun ini.

“Saya sendiri sudah beberapa kali menegur penganjur berkenaan acara tertentu yang digugurkan atau tidak dipertandingkan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Taekwondo The Premier of Sarawak Borneo Cup 2022 di sini hari ini.

SUKMA 2022 di Kuala Lumpur akan mempertandingkan 31 acara antaranya wushu, karate, judo, Muay Thai, pencak silat dan tinju manakala taekwondo dan terjun wanita yang menjadi acara Olimpik tidak dipertandingkan.

Sarawak sebelum ini membantah keras keputusan penganjur membatalkan acara terjun wanita atas faktor kekurangan kontinjen menghantar penyertaan.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, beliau tidak menyenangi pengguguran acara – acara berkenaan.

Secara sinis katanya, penganjur mungkin tidak mahu mempertandingkan acara taekwando kerana bimbang Sarawak akan menyapu pingat yang ditawarkan.

“Bagi ketiga – tiga edisi SUKMA yang lepas, atlet taekwondo Sarawak menunjukkan prestasi yang baik apabila menang banyak pingat emas.

“Mungkin pihak penganjur merasakan mereka tidak mahu mengadakannya (kerana) nanti Sarawak sapu lagi,” katanya.

Sementara itu, Abdul Karim memaklumkan, cadangan untuk membina Pusat Sukan Berprestasi Tinggi Sarawak sudah diluluskan oleh kerajaan negeri.

Ujar beliau, pusat berkenaan bakal dibina bersebelahan Sports Village yang kini dalam proses pembinaan.

“Atlet Sarawak memerlukan pusat itu bagi meningkatkan prestasi.

“Kita mahu mempunyai pusat prestasi tinggi di Sarawak kerana kadang kala (atlet) tidak dapat menunggu untuk menggunakan pusat itu Kuala Lumpur.

“Bukan saya hendak kutuk namun terlalu banyak politik dalam pembangunan sukan,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan