Search
Close this search box.
Foto: Bernama

KPPK dan STA bincang isu kerugian terkumpul perniagaan

KUCHING, 4 Ogos: Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin hari ini mengadakan sesi libat urus dengan Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) di Putrajaya.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pertemuan itu bagi membincangkan isu berkaitan kerugian terkumpul perniagaan yang tidak dibenarkan untuk dibawa ke hadapan bagi tempoh melebihi 10 tahun.

STA melalui Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) sebelum ini telah mengemukakan rayuan kepada kerajaan berhubung kegusaran industri mengenai keputusan Putrajaya yang hanya membolehkan kerugian perniagaan terkumpul yang dibenarkan untuk digunakan sebagai elemen pengurangan cukai pendapatan korporat sehingga tempoh 10 tahun sahaja.

“Sehubungan itu, sesi libat urus ini diadakan bagi mendapatkan pandangan pihak industri perkayuan Sarawak yang diwakili oleh STA yang dibincangkan bersama wakil Kementerian Kewangan (MoF), Lembaga Perindustrian Kayu Negara (MTIB) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC),” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, KPPK memaklumkan sasaran nilai pasaran eksport untuk kayu dan produk kayu menjelang 2030 adalah sebanyak RM32.8 bilion, yang mana, 70 peratus eksport merangkumi produk hiliran.

Pada 2021, industri perkayuan merupakan penyumbang ketiga tertinggi bagi sektor agrikomoditi negara dengan nilai eksport kayu dan produk kayu mencecah RM22.74 bilion.

“Sarawak telah menyumbangkan sebanyak RM3.53 bilion atau 15 peratus dan eksport utama adalah papan lapis, balak serta papan gentian,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, KPPK melalui MTIB, MTC dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) juga sentiasa komited untuk memberikan khidmat nasihat dalam industri perkayuan negara.

“Dalam hal ini, kerajaan Sarawak telah bekerjasama dengan MTCC untuk mempromosikan serta memperkukuhkan pelaksanaan pensijilan kayu dan produk kayu bagi meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa menerusi Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS),” katanya. -TVS

Tags: kayu, kppk, sarawak, STC

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan