Search
Close this search box.
Proses konsultasi untuk mendaftarkan Landskap Kinabatangan sebagai tapak Rizab Biosfera di bawah Program Manusia dan Biosfera (MAB), UNESCO akan bermula pada bulan depan.

Proses konsultasi pendaftaran landskap Kinabatangan sebagai tapak Rizab Biosfera mula bulan depan

KINABATANGAN, 28 Jun : Proses konsultasi untuk mendaftarkan Landskap Kinabatangan sebagai tapak Rizab Biosfera di bawah Program Manusia dan Biosfera (MAB), UNESCO akan bermula pada bulan depan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, proses konsultasi yang akan dijalankan oleh Pusat Biodiversiti Sabah untuk tempoh dua tahun itu memerlukan persetujuan semua pihak berkepentingan termasuk komuniti setempat di kawasan terlibat.

Katanya, semua input, cadangan dan pandangan bernas yang diperolehi menerusi proses konsultasi itu akan didokumenkan sebagai sebahagian daripada keperluan bagi dokumen pencalonan dossier yang akan dihantar kepada UNESCO.

“Kerajaan membuat pilihan yang tepat dalam mencalonkan Kinabatangan sebagai tapak Rizab Biosfera yang kedua di Sabah selain daripada Banjaran Crocker.

“Sekiranya berjaya mendapat pengiktirafan ini, masyarakat antarabangsa akan tertumpu ke daerah ini untuk menikmati sendiri alam sekitar lestari yang cukup dijaga dengan pembabitan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia Tahun 2022 di Dataran Sukau di Kinabatangan.

Beliau berkata, melalui program itu, satu pelan pengurusan bersepadu akan dibangunkan dengan penglibatan semua pihak berkepentingan di Landskap Kinabatangan.

Jelasnya, tiga zon pengurusan yang mempunyai objektif tersendiri iaitu Zon Teras, Zon Penampan dan Zon Transisi akan dikenalpasti agar semua pihak berkepentingan dapat memainkan peranan dan seterusnya mendapat manfaat yang sewajarnya daripada sektor ekonomi yang terhasil daripada pengiktirafan antarabangsa itu.

Program MAB merupakan program antarabangsa yang mempromosikan manusia hidup secara harmoni bersama alam sekitar semulajadi.

Untuk rekod, terdapat tiga lokasi di Malaysia yang telah diiktiraf sebagai tapak Rizab Biosfera sebelum ini iaitu Tasik Chini (Pahang), Banjaran Crocker (Sabah) dan Bukit Bendera (Pulau Pinang). -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan