Search
Close this search box.
Universiti Malaya mengekalkan kedudukan selaku universiti terbaik negara berdasarkan ranking terbaharu dikeluarkan QS. Foto UM.

Empat universiti Malaysia tersenarai 200 terbaik dunia 2023

ByFirdaus Ismail

KUCHING, 10 Jun : Empat universiti tempatan diketuai Universiti Malaya (UM) berjaya mengekalkan kedudukan dalam senarai 200 universiti terbaik dunia berdasarkan ranking terbaharu dikeluarkan QS World University Rankings (QS WUR) 2023 kelmarin.

UM berada di tangga ke-70 dunia berdasarkan enam indikator yang dinilai iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pelajar dan pensyarah,  nisbah sitasi dan pensyarah, pensyarah dan pelajar antarabangsa dan nisbah pelajar dan pensyarah.

Universiti tertua negara itu mencatatkan skor keseluruhan 67.9 peratus namun kedudukan rankingnya menurun berbanding tangga 65 pada 2022.

Universiti Putra Malaysia (UPM) pula disenaraikan pada kedudukan ke-123 terbaik dunia, melonjak 20 anak tangga berbanding 143 pada tahun penilaian sebelumnya.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut mempamerkan peningkatan apabila berada di kedudukan ke-129 dunia, naik 15 anak tangga berbanding kedudukan ke-144 pada tahun lepas.

Sejak tahun 2014, UKM telah melonjak 140 anak tangga dan sepanjang 10 tahun penilaian dibuat, universiti itu meningkat kedudukannya sebanyak tujuh kali.

Turut mencatatkan kenaikan ranking ialah Universiti Sains Malaysia (USM) yang disenaraikan pada kedudukan ke-143 dunia berbanding 147 pada 2022.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula terkeluar daripada senarai 200 universiti terbaik dunia apabila merosot ke ranking 203 berbanding 191 dunia pada tahun penilaian sebelumnya.

Sementara itu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) turut tersenarai dalam ranking QS apabila diletakkan pada 1000 – 1200 universiti terbaik dunia.

Secara keseluruhan, sebanyak 24 buah universiti tempatan berjaya memasuki senarai berkenaan.

Di peringkat global, Massachusetts Institute of Technology (MIT), Boston, Amerika Syarikat berjaya mempertahankan kedudukan sebagai universiti terbaik dunia buat kali kesepuluh berturut – turut apabila mencatatkan skor 100 peratus.

University of Cambridge, United Kingdom pula disenaraikan pada kedudukan kedua terbaik dunia manakala Stanford University berada pada tangga ketiga. 

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, kementerian percaya berdasarkan perancangan yang teliti, universiti awam dan swasta negara akan mampu untuk terus berdaya saing.

“Strategi yang berkesan pula akan menjadikan universiti tempatan sebaris dengan universiti terkemuka dunia pada masa hadapan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan