Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri.Foto Bernama.

Emirates akan pertingkat penerbangan ke Malaysia – Nancy Shukri

PUTRAJAYA, 11 Mei : Syarikat penerbangan terkemuka dunia Emirates, yang berpangkalan di Dubai, akan mempertingkat kesalinghubungan udara ke Malaysia melalui sejumlah penerbangan dan kapasiti penerbangan dari destinasi utama di luar Dubai serta seluruh dunia.

Hal ini berikutan pemeteraian memorandum kerjasama (MOC) antara Tourism Malaysia dan Emirates di Arabian Travel Market (ATM) 2022, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Dubai semalam, sebagai rakan kongsi strategik untuk merangsang pemulihan pelancongan.

Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan Emirates dijangka mengembangkan sayapnya ke bandar lain di Malaysia serta mempromosi beberapa tarikan dan destinasi terkini negara untuk membeli-belah, keseronokan keluarga, ekopengembaraan, berbulan madu dan percutian mewah susulan pembukaan semula sempadan Malaysia pada 1 April.

“Kerjasama ini akan meneroka inisiatif yang saling menguntungkan yang akan memacu pelancongan ke Malaysia dan menawarkan Emirates lebih banyak peluang untuk memenuhi kehendak pasaran,” menurut Tourism Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan tumpuan untuk mempromosi negara sebagai destinasi pilihan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata kolaborasi itu akan terus merangsang industri pelancongan serta memperkukuh hubungan ekonomi antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu.

Beliau berkata kolaborasi itu juga bertujuan menarik pelancong berpotensi dari pasaran lain seperti Eropah, Amerika dan Afrika melalui perkhidmatan serta rangkaian Emirates.

“Kami berharap Emirates akan meneruskan kerjasama dengan Tourism Malaysia untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan unik yang memfokus hanya kepada Malaysia dengan menonjolkan bandar berbeza seperti Kota Kinabalu dan Pulau Pinang,” menurutnya dalam kenyataan itu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan