Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Perintah gaji minimum RM1,500 telah diwartakan

KUALA LUMPUR, 28 April : Pelaksanaan gaji minimum RM1,500, yang akan berkuat kuasa 1 Mei ini, telah diwartakan sebagai Warta Kerajaan Persekutuan pada Rabu.

Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, itu disiarkan di laman sesawang rasmi Jabatan Peguam Negara hari ini.

Berdasarkan warta itu, bagi pekerja yang tidak dibayar gaji pokok tetapi dibayar gaji berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kadar gaji bulanan yang kena dibayar kepada pekerja itu berkuat kuasa mulai 1 Mei 2022 tidak boleh kurang daripada RM1,500.

“Jika enam hari bekerja, pekerja itu harus dibayar RM57.69 sehari, RM69.23 sehari bagi lima hari bekerja, dan RM86.54 sehari jika bekerja empat hari dengan setiap jam bersamaan RM7.21.

“Perenggan ini terpakai bagi pekerja yang diambil kerja oleh seseorang majikan yang mengambil kerja lima orang pekerja atau lebih,” menurut warta itu yang bertajuk ‘Perintah Gaji Minimum 2022’ mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Perenggan itu juga terpakai tanpa mengira bilangan pekerja yang diambil bekerja oleh majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) sebagaimana yang diterbitkan secara rasmi oleh Kementerian Sumber Manusia.

Selain itu, warta tersebut memaklumkan pengecualian pelaksanaan gaji minimum RM1,500 pada 1 Mei ini bagi majikan yang mengambil pekerja kurang daripada lima orang, dan pelaksanaannya hanya berkuat kuasa pada 1 Jan 2023.

Dalam pada itu, kadar gaji minimum yang kena dibayar kepada seseorang pekerja mengikut kawasan tempat kerja bagi tempoh mulai 1 Mei hingga 31 Disember tahun ini adalah RM1,200 bagi Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran, dan RM1,100 bagi kawasan selain Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran.

Justeru itu, warta tersebut memaklumkan Perintah Gaji Minimum 2020 adalah dibatalkan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei bagi seluruh negara. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan