Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sayangkan PRS, saya berkorban – John Sikie Tayai


KUCHING, 22 April : “Kerana sayangkan parti, kami berunding dan berbincang untuk menyelesaikan isu ini”.

Demikian kata Naib Presiden, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk John Sikie Tayai berhubung ‘kejutan’ beliau menarik diri selepas menghantar borang pencalonan untuk bertanding sebagai Presiden parti itu sempena pemilihan hujung minggu ini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Premier Sarawak berkata, kata sepakat dicapai selepas berunding dengan Majlis Tertinggi PRS.

“Demi kesejahteraan dan perpaduan dalam parti, inilah keputusannya,”katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.

Baca > > > John Sikie Tayai disahkan bertanding jawatan Presiden PRS

Baca > > > Tiada perebutan jawatan presiden dalam PRS petanda baik – Nanta

Jawatan Presiden kosong selepas Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing meninggal dunia pada 31 Oktober 2021 dan sejak itu, Timbalan Presiden, Datuk Joseph Salang Gandum memangku jawatan berkenaan.

PRS akan mengadakan mesyuarat agong pada 23 dan 24 April depan di Sibu yang mana pemilihan pucuk pimpinan baharu parti akan turut berlangsung.

Semalam, Setiausaha Agung PRS, Datuk Janang Bungsu berkata, Joseph Salang bersetuju memikul tanggungjawab sebagai Presiden dan keputusan itu dicapai menerusi kesepakatan dalam kalangan pemimpin-pemimpin Majlis Tertinggi PRS.

Sehubungan itu katanya, John Sikie bersetuju untuk menarik diri dan menerima jawatan lain.

Sementara itu, menjelaskan lebih lanjut berkenaan ‘pengorbanan’ yang dilakukan, John Sikie berkata, beliau akur selepas membuat pertimbangan menyeluruh.

“PRS diarahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan persidangan perwakilan tiga tahun sekali namun disebabkan berdepan ‘sedikit masalah’ , Majlis Tertinggi memohon penangguhan sehingga bulan depan.

“Saya sangat sayang parti ini kerana merupakan salah seorang pengasas bersama mendiang Tan Sri pada 2004.

“Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menarik diri bertanding, demi perpaduan dan kesejahteraan parti kami,”katanya.

Ujar beliau sekiranya berlaku pertandingan jawatan ‘nombor satu’ serta kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan berlangsung dalam dalam tempoh terdekat, perkara itu bakal ‘membawa masalah’ kepada PRS.

“Jika ada yang tidak puas hati dan membuat laporan kepada ROS, saya bimbang pendaftaran parti akan dibatalkan,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin yang asalnya dalam Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) menubuhkan PRS kerana mempunyai ‘masalah’ dengan parti asal mereka.

PBDS dibatalkan pendaftaran oleh ROS pada 2004.

Kata John Sikie, beliau tidak mahu sejarah itu berulang dan PRS menghadapi nasib seperti seperti PBDS. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan