Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Kekurangan ‘bajet’ punca prestasi hambar Sarawak United?

KUCHING, 21 April : Prestasi hambar yang ditampilkan oleh Sarawak United FC (SUFC) selepas ‘kepulangan’ ke Liga Super tahun ini mula mencemaskan kem penyokong setia Ngap Sayot.

Mengharungi lima perlawanan setakat ini, reputasi sebagai naib juara Liga Premier 2021 seolah – olah tidak langsung menakutkan lawan apabila SUFC kini terbenam di dasar liga selepas sekadar meraih satu mata.

Ketua Jurulatihnya, B. Sathianathan tanpa berselindung mengakui, kekangan kewangan untuk berbelanja ‘besar’ pada musim ini turut menyumbang kepada perkembangan itu.

“Kalau kita lihat barisan pemain dimiliki (SUFC) agak terhad, bajet boleh dikatakan paling rendah di kalangan pasukan yang bersaing pada Liga Super musim ini.

“Inilah realitinya, sebab itu kita tidak dapat mengharapkan pemain luar(import berkualiti),” katanya ketika dihubungi TVS.

Luahan bekas Ketua Jurulatih Kebangsaan itu mudah untuk difahami kerana barisan pemainnya yang majoriti ‘tenaga tempatan’ dilihat masih ‘liat’ untuk memungut tiga mata penuh biarpun mempunyai peluang terhidang.

Pada aksi Borneo Derby melibatkan perlawanan keempat, Sabah FC membuktikan mereka lebih layak digelar ‘King of Borneo’ ketika ini apabila Sang Badak menghentam Bujang Senang dengan kemenangan tipis 1 – 0 di Petra Jaya.

Lebih malang, jaringan tuan rumah juga tidak disahkan.

Aksi kelima menentang Terengganu FC pula, SUFC dilihat mampu ‘meraih sesuatu’ selepas seorang pemain lawan diarahkan meninggalkan padang pada minit ke-38 namun pelawat lebih unggul apabila menamatkan permainan dengan keputusan 2 – 0.

Di sebalik kerisauan berkenaan, Sathianathan masih yakin pemain mudanya mampu menyumbang sesuatu kepada pasukan.

“Inilah masanya untuk kita memberi ruang kepada pemain muda tempatan mendapatkan pengalaman beraksi dalam kancah tertinggi Liga Malaysia,” katanya.

Di sebalik semangat berkobar – kobar , masalah kecederaan dan jangkitan COVID-19 yang melanda beberapa pemain SUFC juga menjejaskan usaha Kenyalang Emas ketika ini.

“Kita realistik, tidak mempunyai cita-cita yang begitu tinggi kerana yang penting mahu memastikan pasukan kekal di Liga Super musim depan.

“Ini jaminan saya (kekal di Liga Super),” katanya.

Kedudukan terkini Liga Super selepas majoriti pasukan mengharungi lima perlawanan. Grafik MFL

Mata tunggal yang dipungut SUFC ialah ketika seri 1-1 menentang Penang FC pada 5 April lepas.

Selepas ini, pasukan akan bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi bertemu PJ City FC pada 23 April.

Sathianathan berkata, pertembungan dengan PJ City FC kelak akan menjadi tahap pengukur kemampuan anak-anak buahnya sebelum terbang ke Iskandar Puteri berdepan pendahulu Liga Super , Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pusingan kedua Piala FA 2022.

“Saya tidak mahu ulas panjang mengenai Piala FA, kita fokus perlawanan bertemu PJ City dulu, saya optimis kita buat terbaik,” katanya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan